Monday 2 June 2014

Aisyah julang Kelantan

SITI AISYAH menyumbang dua pingat emas buat kontinjen Kelantan menerusi acara angkat berat wanita pada Sukan Malaysia (Sukma) 2014 yang berlangsung di Kangar, Perlis semalam.

KELANTAN menyapu bersih dua emas yang dipertandingkan dalam acara angkat berat wanita kategori 75 kilogram temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2014 semalam.

Kejayaan itu hadir menerusi kecemerlangan Siti Aisyah Md. Rosli di gelangang angkat berat Institut Kemahiran Belia Negara Kuala Perlis dengan angkatan seberat 75kg (snatch) dan 95kg (clean & jerk).

Bagaimanapun, atlet berusia 19 tahun itu mengakui, mampu memberikan aksi yang lebih mantap dalam usaha memperbaiki catatan peribadi terbaik, 100kg kategori clean & jerk sekiranya dia tidak menghidap demam.

Namun, Aisyah tetap berbangga dapat menghadiahkan dua pingat emas kepada kem Kelantan sekali gus menjadi pelengkap kepada enam emas yang disasarkan dalam acara angkat berat pada temasya Sukma kali ini.

"Memang saya letakkan matlamat untuk meraih emas dalam acara ini,terutama untuk melengkapkan sasaran enam emas Kelantan (dalam acara angkat berat).

"Sebenarnya sudah empat hari saya demam. Jika sembuh, saya yakin mampu melakukan angkatan lebih berat daripada yang dipamerkan hari ini (semalam).

"Bagi saya, ini pencapaian terbaik sepanjang tiga penyertaan dalam temasya Sukma kerana ini adalah emas pertama saya," katanya.

Pingat perak pula berjaya menjadi milik atlet Terengganu, Siti Nur Atika Isa dengan angkatan seberat 65kg (snatch) dan 80kg (clean & jerk).

Manakala Mimi Syazwani Zainal Abidin dengan angkatan seberat 49kg (snatch) dan 61kg (clean & jerk) sekadar memenangi pingat gangsa dua acara tersebut.

Sementara itu, atlet tuan rumah, Perlis, Ku Azarul Ku Othman mendominasi kategori 105kg lelaki dengan dua pingat emas menerusi angkatan seberat 130kg (snatch) dan 160kg (clean & jerk).

Azarul berjaya menewaskan Ndri Saparudin dari Wilayah Persekutuan yang meraih perak dalam acara snatch (111kg) dan clean & jerk (140kg).

Pingat gangsa acara snatch dimenangi Adib Mobil Ahamad dari Johor dengan angkatan 110kg dan bagi acara clean & jerk pula menjadi milik atlet Pulau Pinang, Ahmad Fariz Faisal Ross Kenedy (135kg).

RUJUKAN –KOSMOONLINE 3.5.14

Sunday 1 June 2014

Dua rekod padam di kolam

 
Chan Jie melakukan kuakan sempurna ketika mencipta rekod baharu Sukma dan membawa pulang pingat emas dalam acara 100m kuak kupu-kupu di Pusat Akuatik, Kompleks Sukan Negeri, Kangar semalam.
KANGAR - Acara renang me­nyaksikan dua lagi rekod temasya berjaya dipecahkan dalam saingan 200 meter kuak lentang lelaki dan 100m kuak kupu-kupu lelaki di Pusat Akuatik, Kompleks Sukan negeri di sini semalam.

Perenang Johor, Tern Jian Han merekodkan 2 minit 7.2 saat pada aksi kelayakan 200m, namun gagal mengatasi rekod yang di­cipta selepas mencatat 2:09.14s untuk meraih pingat emas.

Jian Han nyata gembira dengan pencapaiannya sepanjang temasya Sukma XVII Perlis 2014 berlangsung dan berharap dapat mengekalkan momentum kecemerlangan itu dalam saingan akan datang.

"Memenangi acara ini adalah sesuatu yang sangat baik dan saya akan terus berusaha untuk mencipta lebih banyak rekod pada masa akan datang.

"Saingan akhir hari ini (semalam) saya telah cuba sebaik mungkin untuk mendapatkan masa yang lebih baik tetapi ini sahaja yang mampu saya lakukan," katanya.

Pingat perak acara itu dimenangi perenang Sarawak, Alex Tiong Sie Hung dengan catatan 2:11.85s.

Perenang Selangor, Chan Jie berada dalam kelas tersendiri apabila turut memecah rekod acara 100m kuak kupu-kupu lelaki dengan catatan 55.04s, me­ngatasi rekod 55.27s yang dicipta Daniel Beego pada 1998.

Pingat perak bagi acara itu diraih perenang Pulau Pinang, Alwyn Tan Yean Yang dengan catatan 55.92s.
Gangsa pula diraih perenang Wilayah Persekutuan selepas merekodkan 56.16s.
RUJUKAN-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140602/su_12/Dua-rekod-padam-di-kolam#ixzz33SGtSnHa © Utusan Melayu (M) Bhd