Wednesday 16 November 2016

Perlis hanya mampu seri dengan Melaka

ARKIB : 20/03/1999
JUARA bertahan, Perlis dan naib juara Terengganu hanya mampu mencatat keputusan seri pada perlawanan pembukaan masing-masing pada Kejohanan Bola Sepak Piala Nike 1999 di padang Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur, semalam.

Perlis seri 2-2 dengan Melaka dalam perlawanan kumpulan A, sementara Terengganu seri 1-1 dengan skuad remaja Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam perlawanan kumpulan B.

Skuad remaja Singa Utara ketinggalan 0-1 hasil jaringan Mohd. Amirul Nea'em pada minit ke-20, tetapi empat minit selepas itu berjaya menyamakan kedudukan 1-1 hasil jaringan Kharul Anuar Shahdan.

Yusrizal Salleh mengukuhkan kedudukan Perlis kepada 2-1 pada minit ke-44. Bagaimanapun, pemain Melaka, Mohizan Shah Dawood menjadikan keputusan muktamad 2-2 dengan jaringan pada minit ke-54.

Jaringan Md. Sukri Abdullah pada minit ke-52 membantu Terengganu menyekat pasukan skuad Remaja FAM dengan keputusan seri 1-1.

Pasukan Remaja FAM di bawah bimbingan Aminuddin Hussin dan Richard Scully menguasai perlawanan separuh masa pertama dan berjaya menghasilkan gol pendahuluan menerusi Wan Mohd. Huzaimy.

Aminuddin memberitahu, skuad bimbingannya masih kurang pengalaman. ''Ini merupakan pertandingan sulung skuad kami dan masih dalam proses menimba pengalaman di samping memperbaiki mutu permainan.''

Dalam perlawanan kumpulan D yang dilangsungkan sebelah pagi, Pulau Pinang membenam Johor 4-0.

Kedah berpesta gol apabila menang 5-1 ke atas Sabah pada perlawanan kumpulan C.

SZUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0320&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4QAzuD9hx © Utusan Melayu (M) Bhd

Thursday 15 September 2016

Malaysia kuis halangan ke-2

ARKIB : 11/09/1998
Pemain wanita negara mengekalkan rekod tanpa kalah pada perlawanan kedua kumpulan W dengan kemenangan 5-0 ke atas Trinidad & Tabago menjelang pertemuan dengan pilihan pertama New Zealand, esok.

Woon Sze Mei yang diturunkan sebagai perseorangan pertama hanya memerlukan masa 12 minit untuk menumpaskan Sabrina Cassie 11-3, 11-0 sebelum Law Pei Pei menang mudah 11-1, 11-0 kepada Zeudi Mack diikuti Ng Mee Fen yag menewaskan Jenelle Cudjoe 11-1, 11-4 bagi membolehkan Malaysia mendahului 3-0.

Beregu utama negara juga bukan tandingan gandingan Trinidad & Tabago yang kalah teruk kepada pasangan Chor Hooi Yee-Lim Pek Siah dan Norhashikin Mohd.-Joanne Quay.

Hooi Yee-Pek Siah menang selesa 15-0, 15-2 sementara Norashikin-Joanne mendapat sedikit saingan sebelum menamatkan perlawanan dengan 15-4, 15-4.

Sementara itu, pasukan lelaki yang diletakkan sebagai pilihan pertama juga masih belum diuji sepenuhnya pada pertemuan dengan pemain Ireland Utara yang tumpas 5-0.

Jurulatih negara, Morten Frost Hansen bagaimanapun tidak bimbang dengan situasi itu menjelang pertemuan dengan Kanada, esok.

''Saya tidak bimbang dengan kemampuan mereka (pemain) walaupun belum diuji sepenuhnya,'' katanya selepas perlawanan itu.

Kemenangan pasukan lelaki negara dimulakan oleh Ong Ewe Hock yang turun sebagai perseorangan pertama untuk menewaskan Leslie Dewart 15-3, 15-3, diikuti Yong Hock Kin yang menang mudah 15-1, 15-1 ke atas David Geddes dalam masa 15 minit saja.

Wong Choong Hann mengutip mata ketiga negara dengan mengetepikan Michael Watt 15-1, 15-3 sebelum gandingan Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock menang 15-5, 15-1 kepada pasangan adik beradik Bruce dan Mark Topping.

Beregu kedua negara, Lee Wan Wah-Choong Tan Fook menyumbangkan mata terakhir dengan mengalahkan Graham Henderson-Eugene McKenna 15-2, 15-7.

Kim Hock yang telah empat bulan tidak menyertai pertandingan menganggap kesemua perlawanan yang disertainya sebagai gelanggang menggilap kembali persefahaman dengan pasangannya Soon Kit sebelum acara individu bermula.

''Kombinasi saya masih belum memuaskan dan saya rasa perlawanan berpasukan ini memberi peluang kepada saya untuk menggilap semula permainan saya,'' katanya mengakui tidak ada kesakitan dialami sepanjang pertandingan dimulakan, kelmarin.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0911&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4KKLqLQgp © Utusan Melayu (M) Bhd

Friday 29 July 2016

Perlis, Terengganu ke akhir


 

ARKIB : 30/03/1998

TERBANG... Pemain Perlis, Khalid Ali (kanan) pantas bertindak dalam perebutan bola dengan pemain Selangor pada pertemuan separuh akhir di padang Pulapol, Jalan Semarak, semalam. Perlis menang menerusi sepakan penalti 4-2.

NAIB juara tahun lalu, Perlis dan pasukan bukan pilihan, Terengganu mara ke perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Nike apabila menewaskan pencabar masing-masing dalam pertemuan penuh dramatik dan berlanjutan ke masa tambahan di padang Pulapol, semalam.

Pertemuan separuh akhir antara Perlis dan Selangor menyaksikan kehebatan barisan muda Singa Utara yang mengasak kubu lawan sejak awal permainan dan berjaya mendahului hasil jaringan Khairul Anuar Shahhidan.

Sekalipun, Selangor cuba bangkit melakukan serangan, namun kekentalan barisan pertahanan skuad utara itu sukar digugat sehingga tamat masa pertama.

Pada babak kedua, Selangor bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Fairul Montana Zainal Abidin pada minit ke-54 dan kedudukan yang terikat 1-1 itu memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan sudden death.

Bagaimanapun, kedua-dua pasukan gagal memecahkan kebuntuan jaringan sehingga penentuan pemenang dibuat menerusi separakan penalti yang memihak kepada Perlis dengan 4-2.

Dalam satu lagi pertemuan separuh akhir, Terengganu mempamerkan keunggulan apabila mengatasi Pahang 1-0 menerusi masa tambahan sudden death selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa penuh.

Tengku Alias Tengku Ibrahim muncul wira Terengganu dengan jaringan emas yang menggegar gawang lawan pada minit ke-89 dan sekali gus mengesahkan tempat pasukan itu di perlawanan akhir.

Kedua-dua pasukan gagal memecahkan kebuntuan jaringan walaupun banyak melakukan asakan pada babak pertama, dan menyaksikan kedudukan terikat tanpa jaringan.

Begitupun, pada babak kedua skuad muda Pantai Timur itu bertindak garang untuk mendahului lawan menerusi jaringan Tengku Alias pada minit ke-43.

Namun kekebalan benteng pertahanan Terenganu lebur juga akhirnya apabila pemain Pahang, Mohd. Fadzli Saari berjaya menyumbat masuk bola pada minit ke-69 untuk menyamakan kedudukan 1-1.

JADUAL HARI INI

Tempat ke-3/4:

8.00 pagi - Selangor lawan Pahang.

Akhir

4.00 petang - Perlis lwn Terengganu.

(Semua perlawanan di padang Pulapol, Jalan Semarak, Kuala Lumpur).

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0330&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4FoOsV0rh © Utusan Melayu (M) Bhd

Selangor mara

ARKIB : 29/03/1998
SELANGOR melangkah dengan bergaya ke separuh akhir bola sepak Piala Nike '98 apabila menumpaskan Polis 3-0 pada perlawanan suku akhir di Padang Pulapol, Kuala Lumpur semalam.

Skuad bawah umur 14 tahun Selangor itu menunjukkan permainan yang matang apabila dengan mudah menjinakkan skuad muda polis.

Pada awal minit keempat, Selangor sudah berjaya membolosi gawang Polis hasil jaringan Mohd. Rizal Othman. Selangor menghukum kelekaan pertahanan Polis pada minit ke-44 dengan jaringan kedua menerusi Shafizan Sanuan.

Pada masa kedua, Selangor bertindak lebih garang dan Faizal Othman sekali lagi menambah derita Polis dengan jaringan ketiga sekali gus melayakkan diri ke separuh akhir.

Pahang turut layak ke separuh akhir setelah terpaksa bertungkus-lumus sebelum menewaskan skuad remaja Ibu Kota, Kuala Lumpur.

Laluan ke separuh akhir Pahang terpaksa ditentukan dengan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat dengan kedudukan 1-1 setelah tamat permainan.

Kuala Lumpur mendahului Pahang apabila Najjua Zulkifli menjaringkan gol pada minit ke-37 sebelum pemain Pahang, Mohd. Fadli Saari menyamakan kedudukan lima minit kemudian.

Perlawanan tamat dengan keputusan 1-1 dan Pahang menang dengan penalti 3-1.

Pada perlawanan lain, Perlis telah berjaya menundukkan Pulau Pinang 2-1.

Pemain Perlis, Safwan Hassan menjaringkan gol pertama pada minit ke-10 tetapi pemain Pulau Pinang berjaya menyamakan kedudukan menerusi Suharlis Saat.

Separuh masa pertama berkesudahan dengan 1-1.

Gol kemenangan Perlis diperoleh pada minit ke-55 setelah Safwan Hassan sekali lagi tidak mempersia-siakan peluang di depan gol.

Terengganu melengkapkan pasukan ke separuh akhir apabila membenam Kedah 4-1.

Kedah lebih dahulu menjaringkan gol menerusi Faizal Ishak pada minit ke-13.

Terengganu tidak menunggu lama dan Rozi Omar berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-22. Terengganu menghancurkan impian Kedah ke separuh akhir setelah Norhisyam Saludin, Azman Harun dan Faizal Hanif meledakkan gol untuk Trengganu pada minit ke-24, 55 dan 67.

Terengganu akan bertemu Pahang dan Selangor akan bertemu Perlis.
Semua perlawanan akan berlangsung hari ini di Padang Pulapol, Kuala Lumpur.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0329&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4FoMwhzx9 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tok Gajah bangkit mendadak

ARKIB : 28/03/1998

 
ASAK... Penjaga gol Selangor, Sani Anuar Kamsani diasak oleh pemain Kuala Lumpur, Wan Mohd. Huzaimy sewaktu perlawanan Kumpulan C Bola Sepak Piala Nike bawah 14 tahun di padang Pulapol, Kuala Lumpur, semalam. Selangor tewas 2-0. - Gambar MOHD. NOOR AMIN.

PAHANG bangkit pada babak kedua dengan menyumbat tiga gol untuk menumpaskan Kelantan 3-2 sekali gus mengesahkan tempat ke suku akhir Bola Sepak Piala Nike bawah 14 tahun dalam perlawanan kumpulan A di padang Pulapol, Kuala Lumpur, semalam, lapor JOHARI SHAWAL.

Skuad muda Tok Gajah itu ketinggalan 2-0 pada babak pertama tetapi bangkit pada babak kedua untuk mara ke suku akhir selepas pendahulu kumpulan, Sabah tewas dengan jaringan besar 5-0 di tangan Polis. Polis, juara bertahan kejohanan turut layak ke suku akhir selepas muncul juara kumpulan A.

Kuala Lumpur dan Selangor turut layak ke suku akhir dari Kumpulan C. Kuala Lumpur muncul juara kumpulan selepas mengalahkan Selangor 2-0.

Empat lagi tempat suku akhir diisi oleh Perlis dan Kedah dari Kumpulan B dan Terengganu dan Pulau Pinang Kumpulan D.

Perlis, naib juara musim lalu muncul juara kumpulan meskipun tewas 1-2 kepada Melaka pada perlawanan terakhir kumpulan, semalam.

Kedah muncul naib juara selepas mengetepikan Perak.

Terengganu menjuarai kumpulan selepas seri 2-2 dengan Pulau Pinang yang muncul naib juara.

Dengan keputusan itu, Pahang akan bertemu Kuala Lumpur manakala Polis menentang Selangor pada perlawanan suku akhir, pagi ini.

Dalam perlawanan suku akhir lain, Perlis bertemu Pulau Pinang manakala Terengganu menguji Kedah.

Dalam perlawanan semalam, Kelantan yang tidak mempunyai harapan untuk layak ke suku akhir, meresahkan Pahang apabila mendahului dua gol pada babak pertama menerusi penyerang M. Azrul Nazuan minit ke-23 dan Khairuzal Azmie tiga minit kemudian.

Begitupun, Pahang yang mengejutkan Polis 2-0 kelmarin, bangkit pada babak kedua menerusi jaringan Wan Mohd. Ezani pada minit ke-40 dan Ahmad Abdul Wahid minit ke-50 sebelum gol kemenangan disumbat oleh pemain berkemahiran tinggi, Mohamad Fadzli Saari pada minit ke-60.

Sabah yang hanya memerlukan keputusan seri untuk ke suku akhir sebaliknya dikejutkan dengan jaringan bertalu-talu Polis.

Polis yang amat memerlukan kemenangan tidak memberi ruang langsung kepada Sabah untuk menggegar gawang mereka sebaliknya jaring Sabah yang kerap digegar.

Gol-gol Polis dijaringkan oleh Mohd. Rasidi Shaari pada minit ke-17, Ahmad Bastian (19, 45), Wan Mohd. Hanel (47) dan Isman Syariff (66).

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0328&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Fo4VpjBg © Utusan Melayu (M) Bhd

Sarawak kena belasah lagi

ARKIB : 26/03/1998
PENYERANG kebangsaan bawah 14 tahun, Mohd. Fairuz Montana menjaringkan lima gol ketika Selangor mengaibkan Sarawak 15-0 pada perlawanan kumpulan C Kejohanan Bola Sepak Piala Nike di padang Pulapol, Kuala Lumpur, semalam.

Kekalahan besar Sarawak semalam adalah yang kali kedua selepas dibelasah teruk 11-0 oleh Kuala Lumpur, kelmarin.

Kemenangan mudah Selangor turut mengesahkan laluan ke suku akhir dari kumpulan itu diiringi Kuala Lumpur yang menumpaskan Johor 1-0 semalam hasil jaringan ketua pasukan, Najjua Zulkifli pada minit ke-49.

Empat daripada kesemua gol yang disumbat Fairuz diperoleh berturut-turut dalam tempoh 20 minit (minit ke-22, 25, 28 dan 38) manakala satu gol lagi diperoleh pada minit ke-11.

Rakan penyerang Fairuz, Amir Shahreen pula melakukan hat trick pada minit ke-4, 6 dan 18 manakala Mohd. Faizal Othman turut menggikut jejak Amir dengan jaringan minit ke-57, 58 dan 65.

Dua lagi gol Selangor dijaringkan oleh Ahmad Fazani Ismail minit ke-43 dan Mior M. Jalilulait minit ke-63.

Selangor akan bertemu Kuala Lumpur untuk menentukan juara kumpulan C, pagi esok.

Naib juara musim lalu, Perlis selesa ke suku akhir apabila meneruskan kecemerlangan dengan kemenangan 5-0 ke atas Perak dalam kumpulan B.

Gol-gol Perlis diperoleh menerusi Mohd. Safwan Hassan pada minit ke-23 dan 59, Khairul Anuar Shahidan (28, 55), dan Sy. Shazmil Amilin Sy. Sharifuddin (57).

Begitupun, persaingan kumpulan B masih terbuka untuk satu lagi tempat ke suku akhir selepas Kedah, yang tewas kepada Perlis 3-0 kelmarin, menang 1-0 ke atas Melaka hasil jaringan Mohd. Faizal Ishak pada minit ke-69.

Walaupun tewas 0-5 di tangan Perlis semalam, Perak masih berpeluang ke suku akhir berbekalkan satu kemenangan ke atas Melaka 3-2 kelmarin.

Kumpulan A turut menyaksikan persaingan sengit untuk memburu satu lagi tempat ke suku akhir apabila juara bertahan, Polis tewas 2-0 di tangan Pahang.

Gol Pahang dijaringkan oleh Mohd. Fadzli Saari minit ke-35 dan M. Rery Martinaz Mohd. Ali minit ke-70.

Polis yang menang ke atas Kelantan 3-0 kelmarin, terpaksa menentang Sabah, yang telah menempah tempat selepas menang kali kedua 2-1 ke atas Kelantan.

Dalam kumpulan D, Negeri Sembilan terpaksa menunggu perlawanan antara Terengganu dengan Pulau Pinang hari ini untuk menentukan nasib ke suku akhir.

Negeri Sembilan yang tewas 3-0 di tangan Terengganu kelmarin, seri dengan Pulau Pinang 1-1 semalam dan mengharapkan Pulau Pinang tewas kepada Terengganu dengan jaringan besar untuk menempah tempat ke suku akhir.

Pulau Pinang membuka jaringan pada awal babak kedua menerusi ketua pasukan, Mohd. Azhar Roslan sebelum Negeri Sembilan menyamakan kedudukan pada minit ke-66 menerusi Mohd. Hasif Zahari.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0326&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4FnNnjYjU © Utusan Melayu (M) Bhd

KL belasah Sarawak

RKIB : 25/03/1998
KENDURI gol memulakan aksi Kejohanan Bola Sepak Piala Nike bawah 14 tahun semalam apabila Kuala Lumpur membelasah Sarawak 11-0 pada perlawanan kumpulan C yang berlangsung di padang Pulapol, Kuala Lumpur.

Mohd. Rasuli Azwan Ramli dan Wan Mohd. Huzaimi Wan Yusuf masing-masing melakukan hattrick manakala Wong Hai Hung menyumbat dua gol sementara Sharin Mohamaed, Khairul Anuar Kelia dan Najua Zulkifli masing-masing menjaringkan satu gol pada minit ke-38, 55 dan 65.

Kuala Lumpur mendahului 3-0 pada babak pertama dengan gol pembukaan disumbat oleh Mohd. Rasuli pada minit ke-15 manakala gol kedua dijaringkan oleh Mohd. Huzaimi dua minit selepas itu dan Rasuli kembali melebarkan jaringan pada minit ke-22.

Najua menambah gol keempat pada mini ke-38 dan Rasuli melengkapkan hattriknya pada minit ke-42.

Sementara itu juara bertahan, Polis melakukan permulaan baik apabila menumpaskan Kelantan 3-0 dalam perlawanan kumpulan A.

Ahmad Bastian Samsunar menjadi wira Polis apabila menyumbat dua gol dan menjaringkan gol pembukaan diperolehi lima minit selepas babak kedua bermula.

Mohd. Rasidi Shaari menambah gol kedua sepuluh minit kemudian sebelum Ahmad Bastian menutup perlawanan dengan gol ketiga pada minit ke-65.

Naib juara, Perlis mudah menjinakkan pasukan jiran, Kedah 3-0 pada perlawanan kumpulan B.

Kegarangan Perlis terserlah sebaik babak kedua bermula apabila Syed Shazmil Amilin Syed Shafifudin membuka jaringan pada minit ke-43.

Ahmad Iffzan Shahrazat Hashim kemudian menambah gol kedua pada minit ke-56 sebelum Wan Afifi Mohd. Yusof menggegarkan jaring Kedah pada minit-minit terakhir perlawanan untuk gol ketiga.

Dalam perlawanan lain, Sabah menewaskan Pahang 2-1 dalam perlawanan kumpulan A.

Sabah mendahului 1-0 sehingga babak pertama dengan jaringan pembukaan diperolehi menerusi Jody Byan Gundok pada minit ke-22.

Begitupun, Pahang menyamakan kedudukan pada minit ke-44 menerusi Mohd. Fadzli Saari tetapi Walther Antahar menafikan kegarangan Pahang apabila menyumbat gol kedua pada minit ke-52.

Perak menang 3-2 pada perlawanan kumpulan B dengan Perak lebih dulu membuka jaringan pada minit ke-32 menerusi Mohd. Lubis Nazri.

Melaka bangkit dengan dua gol pada babak kedua menerusi Mohd. Iqbal Nasir pada minit ke-40 dan Kahiril Anwar Mahamad Rizal empat minit kemudian.

Begitupun, Perak berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-60 menerusi Mohd. Azwan Zainuddin sebelum gol kemenangan disumbat oleh M. Parameswaran seminit sebelum tamat perlawanan.

Dalam kumpulan C, Mohd. Faizal Othman menjaringkan kedua-dua gol untuk Selangor menghampakan Johor 2-0.

Jaringan Faizal diperolehi pada minit ke-37 sebelum sekali lagi menggegar gawang Johor pada minit ke-65.

Azman Harun menjaringkan dua gol ketika membantu Terengganu menewaskan Negeri Sembilan 3-0 dalam perlawanam kumpulan D.

Mohd. Fairuz Hamizan membuka jaringan pada minit ke-11 sebelum Azman menambah gol kedua pada minit ke-23 untuk Terengganu selesa dua gol di depan sehingga waktu rehat.

Oleh: JOHARI SYAWAL

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0325&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FmiOQo5y © Utusan Melayu (M) Bhd

Tuesday 26 July 2016

Selangor

ARKIB : 15/02/1998

 
SIMBOLIK... Penyerahan obor Sukan Malaysia (Sukma) oleh Hassan Ariffin (kiri) kepada Abu Hassan Omar di Janda Baik, Pahang semalam menandakan bermulanya komitmen Selangor mengelolakan temasya kali ketujuh itu.

SELANGOR tidak akan meminta bantuan tenaga sukarelawan daripada Sukom Ninety Eight Berhad (Sukom) lagi dalam menjayakan Sukan Malaysia (Sukma) ke-7 di Shah Alam yang bermula pada 17 April ini.

Selangor mengambil keputusan demikian setelah menyedari Sukom mempunyai tanggungjawabnya sendiri untuk memastikan kelancaran persiapan Pra-Sukan Komanwel, Julai ini di samping temasya sebenar, September depan.

Menteri Besarnya, Datuk Abu Hassan Omar berkata, Selangor berpendapat, Sukom tidak patut dibebankan dengan tambahan khidmat kepada Sukma kerana mereka perlu memberi tumpuan kepada temasya yang bertaraf antarabangsa itu.

''Sebagai penganjur acara antarabangsa, Sukom tentu sekali perlu mengendalikan tugasnya terlebih dulu tetapi ini tidak bermakna kita tidak akan membantu mereka apabila terdapat acara Sukan Komanwel yang dilangsungkan di Selangor.

''Kita tetap akan menyumbangkan bantuan kepada Sukom sekiranya dikehendaki, terutama ketika Stadium Tertutup Shah Alam menjadi gelanggang pertandingan acara tinju Sukan Komanwel nanti,'' katanya.

Abu Hassan berkata demikian selepas majlis penyerahan obor Sukma '98 daripada Timbalan Menteri Besar Pahang, Datuk Hassan Ariffin di Hentian Janda Baik, Pahang, semalam.

Katanya lagi, Selangor sehingga ini tidak menerima apa-apa maklum balas daripada pihak Sukom berhubung tawaran menyumbangkan tenaga sukarelawan mereka bagi menimba pengalaman awal sebelum temasya sebenar bermula.

Jawatankuasa Pengelola Sukma sebelum ini mendakwa, mereka diberikan pelbagai alasan oleh Sukom ketika meminta bantuan dalam penyediaan sistem maklumat keputusan dan tenaga sukarelawan serta ujian dadah.

Sukom pula kemudiannya bertindak menafikan mereka pernah menjanjikan tawaran demikian malah turut memberitahu, bantuan kepada Sukma tidak dapat ditunaikan kerana kekurangan tenaga sukarelawan yang memperolehi cuti ketika itu.

Abu Hassan juga menambah, kerajaan Selangor turut mengharapkan bantuan media massa untuk membantu memberikan publisiti kepada Sukma setelah menyedari soal itu kurang diberikan perhatian pada temasya ketujuh kali ini.

''Apa pun, kemeriahan Sukma kali ini diharap tidak akan tergugat tanpanya malah saya kira masalah kegawatan ekonomi negara ketika ini bukanlah penghalang Selangor untuk menjayakannya,'' jelas beliau lagi.

Katanya lagi, Selangor bagaimanapun terpaksa mengurangkan pengelolaan acara dalam Sukma seperti menggugurkan silat seni di samping beberapa bahagian kecil dalam sukan lain akibat masalah ekonomi ketika ini.

Namun begitu ujarnya, bagi memberikan kelainan pengelolaan Sukma kali ini, Selangor sendiri turut merancang pembawaan obor temasya itu dengan menggunakan jet ski ketika menyeberangi sungai di daerah yang terlibat.

Mulai semalam, larian obor Sukma akan merentasi lapan daerah di seluruh Selangor iaitu Gombak, Hulu Selangor, Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat, Sepang, Hulu Langat dan Petaling.

Larian selama dua bulan ini seterusnya akan berakhir pada malam perasmian Sukma ketujuh di Stadium Shah Alam, 18 April ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4FVWGL924 © Utusan Melayu (M) Bhd