Friday 29 July 2016

Perlis, Terengganu ke akhir


 

ARKIB : 30/03/1998

TERBANG... Pemain Perlis, Khalid Ali (kanan) pantas bertindak dalam perebutan bola dengan pemain Selangor pada pertemuan separuh akhir di padang Pulapol, Jalan Semarak, semalam. Perlis menang menerusi sepakan penalti 4-2.

NAIB juara tahun lalu, Perlis dan pasukan bukan pilihan, Terengganu mara ke perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Nike apabila menewaskan pencabar masing-masing dalam pertemuan penuh dramatik dan berlanjutan ke masa tambahan di padang Pulapol, semalam.

Pertemuan separuh akhir antara Perlis dan Selangor menyaksikan kehebatan barisan muda Singa Utara yang mengasak kubu lawan sejak awal permainan dan berjaya mendahului hasil jaringan Khairul Anuar Shahhidan.

Sekalipun, Selangor cuba bangkit melakukan serangan, namun kekentalan barisan pertahanan skuad utara itu sukar digugat sehingga tamat masa pertama.

Pada babak kedua, Selangor bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Fairul Montana Zainal Abidin pada minit ke-54 dan kedudukan yang terikat 1-1 itu memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan sudden death.

Bagaimanapun, kedua-dua pasukan gagal memecahkan kebuntuan jaringan sehingga penentuan pemenang dibuat menerusi separakan penalti yang memihak kepada Perlis dengan 4-2.

Dalam satu lagi pertemuan separuh akhir, Terengganu mempamerkan keunggulan apabila mengatasi Pahang 1-0 menerusi masa tambahan sudden death selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa penuh.

Tengku Alias Tengku Ibrahim muncul wira Terengganu dengan jaringan emas yang menggegar gawang lawan pada minit ke-89 dan sekali gus mengesahkan tempat pasukan itu di perlawanan akhir.

Kedua-dua pasukan gagal memecahkan kebuntuan jaringan walaupun banyak melakukan asakan pada babak pertama, dan menyaksikan kedudukan terikat tanpa jaringan.

Begitupun, pada babak kedua skuad muda Pantai Timur itu bertindak garang untuk mendahului lawan menerusi jaringan Tengku Alias pada minit ke-43.

Namun kekebalan benteng pertahanan Terenganu lebur juga akhirnya apabila pemain Pahang, Mohd. Fadzli Saari berjaya menyumbat masuk bola pada minit ke-69 untuk menyamakan kedudukan 1-1.

JADUAL HARI INI

Tempat ke-3/4:

8.00 pagi - Selangor lawan Pahang.

Akhir

4.00 petang - Perlis lwn Terengganu.

(Semua perlawanan di padang Pulapol, Jalan Semarak, Kuala Lumpur).

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0330&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4FoOsV0rh © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment