ARKIB : 28/03/1998
ASAK... Penjaga gol Selangor,
Sani Anuar Kamsani diasak oleh pemain Kuala Lumpur, Wan Mohd. Huzaimy sewaktu
perlawanan Kumpulan C Bola Sepak Piala Nike bawah 14 tahun di padang Pulapol,
Kuala Lumpur, semalam. Selangor tewas 2-0. - Gambar MOHD. NOOR AMIN.
PAHANG bangkit pada babak kedua
dengan menyumbat tiga gol untuk menumpaskan Kelantan 3-2 sekali gus mengesahkan
tempat ke suku akhir Bola Sepak Piala Nike bawah 14 tahun dalam perlawanan
kumpulan A di padang Pulapol, Kuala Lumpur, semalam, lapor JOHARI SHAWAL.
Skuad muda Tok Gajah itu
ketinggalan 2-0 pada babak pertama tetapi bangkit pada babak kedua untuk mara
ke suku akhir selepas pendahulu kumpulan, Sabah tewas dengan jaringan besar 5-0
di tangan Polis. Polis, juara bertahan kejohanan turut layak ke suku akhir
selepas muncul juara kumpulan A.
Kuala Lumpur dan Selangor turut
layak ke suku akhir dari Kumpulan C. Kuala Lumpur muncul juara kumpulan selepas
mengalahkan Selangor 2-0.
Empat lagi tempat suku akhir
diisi oleh Perlis dan Kedah dari Kumpulan B dan Terengganu dan Pulau Pinang
Kumpulan D.
Perlis, naib juara musim lalu
muncul juara kumpulan meskipun tewas 1-2 kepada Melaka pada perlawanan terakhir
kumpulan, semalam.
Kedah muncul naib juara selepas
mengetepikan Perak.
Terengganu menjuarai kumpulan
selepas seri 2-2 dengan Pulau Pinang yang muncul naib juara.
Dengan keputusan itu, Pahang
akan bertemu Kuala Lumpur manakala Polis menentang Selangor pada perlawanan
suku akhir, pagi ini.
Dalam perlawanan suku akhir
lain, Perlis bertemu Pulau Pinang manakala Terengganu menguji Kedah.
Dalam perlawanan semalam,
Kelantan yang tidak mempunyai harapan untuk layak ke suku akhir, meresahkan
Pahang apabila mendahului dua gol pada babak pertama menerusi penyerang M.
Azrul Nazuan minit ke-23 dan Khairuzal Azmie tiga minit kemudian.
Begitupun, Pahang yang
mengejutkan Polis 2-0 kelmarin, bangkit pada babak kedua menerusi jaringan Wan
Mohd. Ezani pada minit ke-40 dan Ahmad Abdul Wahid minit ke-50 sebelum gol
kemenangan disumbat oleh pemain berkemahiran tinggi, Mohamad Fadzli Saari pada
minit ke-60.
Sabah yang hanya memerlukan
keputusan seri untuk ke suku akhir sebaliknya dikejutkan dengan jaringan
bertalu-talu Polis.
Polis yang amat memerlukan
kemenangan tidak memberi ruang langsung kepada Sabah untuk menggegar gawang
mereka sebaliknya jaring Sabah yang kerap digegar.
Gol-gol Polis dijaringkan oleh
Mohd. Rasidi Shaari pada minit ke-17, Ahmad Bastian (19, 45), Wan Mohd. Hanel
(47) dan Isman Syariff (66).
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0328&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Fo4VpjBg
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment