Thursday 6 February 2014

Nicol tiada tandingan, juarai Clevelend Classic

KUALA LUMPUR - Langkah ratu skuasy negara, Datuk Nicol David tidak mampu disekat apabila dia merangkul kejuaraan jelajah Persatuan Skuasy Wanita (WSA) ketujuh berturut-turut dengan muncul juara Cleveland Classic di Ohio, Amerika Syarikat semalam.

Pemain No. 1 dunia itu nyata bukan tandingan buat juara Asia, Annie Au dari Hong Kong apabila menang 13-11, 11-5, 11-6 dalam perlawanan akhir.

Nicol, 30, tidak pernah gagal menamatkan kejohanan selaku juara sejak melangkah ke perlawanan akhir Terbuka Malaysia, September tahun lalu.

Malah, ini adalah kejuaraan keduanya tahun ini selepas muncul juara Kejohanan Juara-Juara di New York, bulan lalu.

Kemenangan semalam juga membolehkan pemain kelahiran Pulau Pinang itu mengumpul 73 gelaran keseluruhan dalam jelajah WSA sepanjang kariernya.

"Ia sesuatu yang hebat berjaya memenangi gelaran ini.. sukar untuk menggambarkan perasaan saya ketika ini.

"Saya berkerja keras ketika sesi latihan dan kerja keras saya itu telah memberikan hasil apabila berada di atas gelanggang pertandingan," kata Nicol kepada www.squashsite.co.uk.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140206/su_08/Nicol-tiada-tandingan-juarai-Clevelend-Classic#ixzz2sXDfHMPf © Utusan Melayu (M) Bhd

Nicol hampiri gelaran ketujuh

Nicol David
KUALA LUMPUR - Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David sekali lagi tidak mampu dihalang apabila melangkah ke perlawanan akhir Terbuka Cleveland Classic dengan menyingkirkan Nour El Tayeb dari Mesir di Ohio, Amerika Syarikat semalam.

Pemain No.1 dunia dipaksa berkerja keras di set kedua ketika mencatat kemenangan 11-7, 12-10, 11-4 ke atas Nour, yang beraksi atas tiket kelayakan.

Nicol kini hanya selangkah saja lagi dipisahkan daripada merangkul gelaran Jelajah Persatuan Skuasy Wanita (WSA) ketujuh berturut-turut.

Jaguh Hong Kong, Annie Au kini bakal menjadi halangan terakhir buat juara dunia tujuh kali itu untuk membawa pulang gelaran keduanya tahun ini selepas muncul juara Kejohanan Juara-Juara di New York, bulan lalu.

Annie mara selepas melakar kejutan terbesar ke atas pilihan keempat, Alison Waters dari England 6-11, 11-7, 9-11, 11-2, 13-11 dalam satu lagi separuh akhir.

Pada perlawanan semalam, Nicol sedikit tersentak apabila dicabar hebat oleh Nour di set kedua dan ketinggalan 2-7.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu bagaimanapun menggunakan pengalamannya untuk memenangi set kedua 12-10.

Enggan membuang masa lebih lama di atas gelanggang, Nicol, 30, menutup permainan dengan kemenangan mudah 11-4 di set ketiga.

"Pada set kedua saya ketinggalan 7-10. Dalam situasi sebegini penting untuk saya kekal fokus dan pungut mata demi mata," kata Nicol.
SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140205/su_09/Nicol-hampiri-gelaran-ketujuh#ixzz2sXBIhnFt © Utusan Melayu (M) Bhd