Thursday, 6 February 2014

Nicol hampiri gelaran ketujuh

Nicol David
KUALA LUMPUR - Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David sekali lagi tidak mampu dihalang apabila melangkah ke perlawanan akhir Terbuka Cleveland Classic dengan menyingkirkan Nour El Tayeb dari Mesir di Ohio, Amerika Syarikat semalam.

Pemain No.1 dunia dipaksa berkerja keras di set kedua ketika mencatat kemenangan 11-7, 12-10, 11-4 ke atas Nour, yang beraksi atas tiket kelayakan.

Nicol kini hanya selangkah saja lagi dipisahkan daripada merangkul gelaran Jelajah Persatuan Skuasy Wanita (WSA) ketujuh berturut-turut.

Jaguh Hong Kong, Annie Au kini bakal menjadi halangan terakhir buat juara dunia tujuh kali itu untuk membawa pulang gelaran keduanya tahun ini selepas muncul juara Kejohanan Juara-Juara di New York, bulan lalu.

Annie mara selepas melakar kejutan terbesar ke atas pilihan keempat, Alison Waters dari England 6-11, 11-7, 9-11, 11-2, 13-11 dalam satu lagi separuh akhir.

Pada perlawanan semalam, Nicol sedikit tersentak apabila dicabar hebat oleh Nour di set kedua dan ketinggalan 2-7.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu bagaimanapun menggunakan pengalamannya untuk memenangi set kedua 12-10.

Enggan membuang masa lebih lama di atas gelanggang, Nicol, 30, menutup permainan dengan kemenangan mudah 11-4 di set ketiga.

"Pada set kedua saya ketinggalan 7-10. Dalam situasi sebegini penting untuk saya kekal fokus dan pungut mata demi mata," kata Nicol.
SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140205/su_09/Nicol-hampiri-gelaran-ketujuh#ixzz2sXBIhnFt © Utusan Melayu (M) Bhd


No comments:

Post a Comment