Wednesday 16 November 2016

Perlis hanya mampu seri dengan Melaka

ARKIB : 20/03/1999
JUARA bertahan, Perlis dan naib juara Terengganu hanya mampu mencatat keputusan seri pada perlawanan pembukaan masing-masing pada Kejohanan Bola Sepak Piala Nike 1999 di padang Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur, semalam.

Perlis seri 2-2 dengan Melaka dalam perlawanan kumpulan A, sementara Terengganu seri 1-1 dengan skuad remaja Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam perlawanan kumpulan B.

Skuad remaja Singa Utara ketinggalan 0-1 hasil jaringan Mohd. Amirul Nea'em pada minit ke-20, tetapi empat minit selepas itu berjaya menyamakan kedudukan 1-1 hasil jaringan Kharul Anuar Shahdan.

Yusrizal Salleh mengukuhkan kedudukan Perlis kepada 2-1 pada minit ke-44. Bagaimanapun, pemain Melaka, Mohizan Shah Dawood menjadikan keputusan muktamad 2-2 dengan jaringan pada minit ke-54.

Jaringan Md. Sukri Abdullah pada minit ke-52 membantu Terengganu menyekat pasukan skuad Remaja FAM dengan keputusan seri 1-1.

Pasukan Remaja FAM di bawah bimbingan Aminuddin Hussin dan Richard Scully menguasai perlawanan separuh masa pertama dan berjaya menghasilkan gol pendahuluan menerusi Wan Mohd. Huzaimy.

Aminuddin memberitahu, skuad bimbingannya masih kurang pengalaman. ''Ini merupakan pertandingan sulung skuad kami dan masih dalam proses menimba pengalaman di samping memperbaiki mutu permainan.''

Dalam perlawanan kumpulan D yang dilangsungkan sebelah pagi, Pulau Pinang membenam Johor 4-0.

Kedah berpesta gol apabila menang 5-1 ke atas Sabah pada perlawanan kumpulan C.

SZUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0320&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4QAzuD9hx © Utusan Melayu (M) Bhd