Tuesday 25 April 2017

Kesungguhan Josiah tetap jadi kebanggaan

ARKIB : 27/08/2004
ATHENS - Meskipun gagal membawa pulang pingat, pencapaian Josiah Ng tetap boleh dianggap membanggakan apabila layak ke peringkat akhir sebelum menduduki tempat kelima acara keirin lumba basikal Sukan Olimpik di Velodrome Olimpik, kelmarin.
Bertanding menerusi tiket secara merit, Josiah mencipta sejarah tersendiri dalam sukan negara sejak Malaysia kali pertama bertanding dalam acara lumba pada tahun 1964 di Tokyo.
Kejayaannya menduduki senarai enam teratas dalam saingan di peringkat tertinggi seperti Sukan Olimpik memberikan gambaran bahawa atlet Malaysia berupaya memberikan saingan terbaik jika membuat persiapan yang lebih rapi bagi menghadapi temasya akan datang.
Josiah sendiri membayangkan bahawa dia mampu memberikan saingan yang jauh lebih baik jika terus diberi peluang.
``Tidak ada gunanya menduduki tempat keempat, kelima atau keenam di dunia. Mesej yang paling penting di sini ialah saya gagal membawa pulang pingat,'' kata Josiah, yang dahagakan kejayaan.
Atlet yang dilahirkan di Filipina dan menghabiskan banyak masanya di Amerika Syarikat selepas ibu bapanya berhijrah ke sana ketika dia berusia lapan tahun itu berkata, dia masih menyimpan hasrat untuk membawa pulang pingat emas satu hari nanti.
``Saya akan kembali. Beijing 2008 sedia menanti. Saya mahu menyiapkan diri seratus peratus. Selepas perlumbaan ini, saya tahu apa yang perlu dilakukan.
``Ia menjadi pengajaran berguna saya di sini. Apa pun terserah kepada Majlis Sukan Negara (MSN) sama ada mereka benar-benar memerlukan saya. MSN banyak membantu. Saya akan berusaha membuktikannya dalam tempoh empat tahun akan datang.
Empat tahun yang lalu, saya menyiapkan diri untuk Sukan Olimpik ini tetapi nyata hampa apabila tidak memenangi sebarang pingat. Walaupun saya sudah menghampirinya, ia tidak mencukupi,'' kata Josiah.
Selepas berakhirnya temasya di Athens ini Josiah akan meninggalkan kem latihannya di Pusat Lumba Basikal Dunia di Aigle, Switzerland. Pelumba itu akan memulakan sesi latihan baru bersama jurulatih peribadinya, Mark Whitehead di San Diego, California, Amerika Syarikat.
Dengan kegagalan Josiah bermakna Malaysia mengulangi kehampaan di Sydney, empat tahun lalu apabila pulang tangan kosong tanpa sebarang pingat.
Badminton sering menjadi pertaruhan utama Malaysia untuk memenangi pingat dalam Sukan Olimpik sejak acara itu mula dipertandingkan pada 1992 di Barcelona, Sepanyol.
Walaupun, gagal membawa pulang pingat, lumba basikal dan renang membawa lembaran baru bagi Malaysia.
Selain Josiah, perenang harapan, Lim Keng Liat turut mencipta kejayaan tersendiri apabila layak ke peringkat separuh akhir acara 100 meter kuak lentang.
Atlet Malaysia yang lainnya sekadar memenuhi jadual pertandingan apalagi dengan penyertaan mereka menerusi tiket wild-card. - Utusan