Sunday 26 November 2017

Azizulhasni tewaskan juara Olimpik

ARKIB : 14/06/2008
Oleh TAUFEK RAZAK
 
AZIZULHASNI

KUALA LUMPUR - Pelumba trek muda negara, Azizulhasni Awang memberi harapan besar kepada kontinjen Olimpik Malaysia apabila menewaskan pelumba Olimpik Australia untuk muncul juara acara keirin pada satu perlumbaan ujian di Vodafone Arena Melbourne, Australia, kelmarin.

Antara yang menjadi mangsa Azizulhasni adalah pemenang pingat emas keirin Sukan Olimpik Athens 2004, Ryan Bayley di samping dua pelumba berpengalaman Australia, Shane Kelly dan Mark French.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Wahab yang turut berada di Melbourne berkata, kemenangan Azizulhasni amat membanggakan.

"Walaupun ia hanya perlumbaan ujian tetapi cara kayuhan Azizulhasni meninggalkan pelumba-pelumba Olimpik Australia yang lebih berpengalaman dan bersaiz fizikal lebih besar amat menakjubkan.

"Walaupun bertubuh kecil dan masih muda, Azizulhasni menunjukkan kematangannya beraksi buat kali pertama dengan jaguh-jaguh terkemuka Australia itu," katanya.

Pelumba kelahiran Terengganu yang baru berusia 19 tahun itu turut membantu pasukan negara menjuarai acara Olimpik berpasukan (team sprint) berpasangan dengan Josiah Ng dan Mohd. Rizal Tisin.

Gandingan trio negara menewaskan gandingan French, Bayley dan Daniel Ellis.

Selain itu, Azizulhasni juga berjaya menduduki tempat ketiga acara 200 meter pecut di belakang dua pelumba Australia, Bayley (juara Olimpik 2004) dan French.

Pelumba wanita negara, Fatehah Mustapha juga berjaya menduduki tempat ketiga dalam acara keirin.

Seramai enam pelumba negara berada di Melbourne sejak sebulan lalu untuk berlatih di bawah jurulatih tempatan, John Beasley.

Bagaimanapun hanya empat pelumba lelaki akan beraksi di Sukan Olimpik Beijing Ogos ini yang pemilihannya akan ditentukan tidak lama lagi.

Ketika ini selain Azizulhasni, Josiah dan Rizal, turut bersaing merebut tempat ke Beijing adalah Mohd. Ederus Mohd. Yunus dan Junaidi Mohd. Nasir.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0614&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zajoYuvt

© Utusan Melayu (M) Bhd

Zabidi rampas gelaran pecut - Siti Fatima ungguli gelaran 100 meter wanita

ARKIB : 06/06/2008

JUARA baru... Atlet Terengganu, Mohd. Zabidi Ghazali meraikan kejayaannya mengungguli larian 100 meter lelaki Sukma XII di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, semalam.

KUALA TERENGGANU – Atlet tuan rumah, Mohd. Zabidi Ghazali dan Siti Fatima Mohamad dari Johor merampas gelaran raja dan ratu pecut 100 meter akhir Sukan Malaysia XII, semalam.

Mohd. Zabidi dan Siti Fatima yang merupakan atlet kebangsaan mencatat kepantasan 10.57s saat dan 11.82s.

Dalam pada itu, Terengganu mula menunjukkan taring apabila menduduki tempat teratas pungutan pingat emas dengan memintas Sarawak pada hari keenam temasya.

Majoriti emas Terengganu disumbangkan oleh pasukan kanu yang beraksi di Taman Rekreasi Tasik Putri, Bukit Besi, Dungun selepas menyapu bersih enam emas.

Malah, atlet lontar peluru tuan rumah, Adi Alifuddin Hussein juga berjaya memadamkan rekod lama kejohanan yang dilakukannya sendiri selepas berjaya melakukan lontaran sejauh 15.87 meter untuk menggondol emas.

pelari pecut Johor, Siti Fatimah Mohamad (kiri) mencecah garisan penamat untuk pingat emas 100 meter wanita di Kuala Terengganu, semalam.

Sementara itu, kepantasan larian 11.82s Siti Fatima, semalam memadam rekod kejohanan milik sendiri yang dicatatnya dalam saringan separuh akhir, kelmarin.

Pingat perak pula dimenangi pelari Pulau Pinang, Nor Jannah Jamaluddin manakala gangsa, Siti Nurhayati Zulkifli dari Wialayah Persekutuan.

Mohd. Zabidi pula mencatat masa terbaik peribadi untuk memenangi emas dengan menewaskan juara bertahan, Mohd. Latif Nyat (10.64s) dari Johor, manakala Daniel Azwan Amar dari Perlis ketiga (10.82s).

Sementara itu, atlet Selangor, Lee Hup Wei memadamkan rekod 14 tahun lompat tinggi kejohanan dengan melakukan lompatan 2.20m, mengatasi catatan yang di buat Loh Kum Zee 2.15m di Sukma 1994 Perak.

Acara renang sekali lagi menyaksikan Foo Jian Beng memecahkan rekod kebangsaan melalui kategori 50 meter renang gaya bebas dengan catatan 23.45 saat, memadam rekod lama kejohanan milik Allan Ong pada Kejohanan Terbuka Kuala Lumpur.

Ini merupakan kali kedua Jian Beng memadamkan rekod kebangsaan milik Allan selepas berjaya kali pertama melalui 100m gaya bebas.

Secara keseluruhan, tuan rumah masih selesa di tangga teratas ekoran acara renang dan wushu yang didominasi peserta Sarawak sudah berakhir.

Apa pun, hari ini tumpuan pasti terarah ke acara olahraga di mana kategori 400m lari berpagar lelaki dan wanita, 1,500m lelaki dan wanita, 4X100m lelaki dan wanita akan diadakan dan kemungkinan lebih banyak rekod yang bakal dipecahkan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0606&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zYJpGkN6

© Utusan Melayu (M) Bhd

Azizulhasni, Fatehah tunai janji


 

ARKIB : 05/06/2008
Menteri besar Terengganu, datuk Ahmad said mengucapkan tahniah kepada Azizulhasni Awang (tengah) dan Fatehah Mustafa yang berjaya merangkul dua pingat emas dalam acara berbasikal Sukma XII di Kuala Berang, semalam.

KUALA BERANG - Azizulhasni Awang menyempurnakan hajatnya untuk menghadiahkan dua emas kepada Terengganu pada Sukan Malaysia XII apabila mudah mengungguli acara berbasikal 200 meter pecut di trek bandar Kuala Berang, semalam.

Turut menepati ramalan seorang lagi pelumba tuan rumah, Fatehah Mustafa yang memberikan emas keduanya kepada kontinjenTerengganu menerusi acara 200m pecut wanita.

Azizul yang telah layak ke Olimpik memenangi acara 200m pecut selepas menewaskan pelumba Wilayah Persekutuan, Harnizam Basri dalam persaingan final dengan kepantasan 11.02 saat.

Fatehah mengesahkan kemenangan selepas memecut dengan kepantasan 12.28s untuk mengatasi pelumba Kedah, Ruszatulzanariah Md. Yusuf.

Menurut Azizul, dia amat gembira kerana berjaya menyumbang dua pingat emas untuk tuan rumah apatah lagi dilakukan di depan penonton sendiri.

''Kemenangan ini melengkapkan cita-cita saya untuk membantu menambah pingat emas kepada Terengganu dan berharap Terengganu berjaya mencapai sasaran 40 emas di kejohanan ini.

''Tidak sia-sia saya menempuh perjalanan jauh dari Australia semata-mata untuk menyertai Sukma ini.

''Apa yang lebih penting, saya berjaya mengharungi perlumbaan dengan baik tanpa sebarang masalah," katanya.

Mengenai saingan, semalam katanya, dia tetap berhati-hati berdepan halangan semua pelumba kerana saingan acara pecut di atas trek jalan raya berbeza dengan trek velodrom.

Katanya, dia tidak bimbang mengenai risiko kemalangan kerana aspek keselamatan tetap diutamakan walaupun perlumbaan diadakan di trek jalan raya.

''Segala-galanya berjalan dengan selamat dan saya dapat memecut dengan baik di atas trek jalan raya ini.

''Kemenangan ini khas untuk rakyat Terengganu. Saya akan kembali ke Australia esok (hari ini) untuk meneruskan latihan ke Sukan Olimpik Beijing dengan senang hati setelah memberikan dua emas untuk Terengganu," katanya.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0605&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zYGaSICv

© Utusan Melayu (M) Bhd

Cai Lin, Azizul cemerlang


 

ARKIB : 04/06/2008
AzizulHasni
awang menamatkan kayuhan emas dengan catatan 104.7 saat berbasikal 1km ujian masa individu di Kuala Berang, semalam.

KUALA TERENGGANU - Acara renang terus mendominasi catatan rekod baru Sukan Malaysia XII diketuai perenang kebangsaan, Khoo Cai Lin.

Cai Lin yang mewakili Selangor dan telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Beijing, Ogos ini memecah rekod acara 800 meter gaya bebas wanita yang juga acara kegemarannya.

Perenang berusia 20 tahun itu mencatat kepantasan 8 minit 51:92 saat, meleburkan rekod lama 9:06:15s yang dilakukan perenang Negeri Sembilan, Lew Yih Wey pada Sukma 2006 Kedah.

Malah, pencapaian Olimpian 2007 itu juga hampir memadam rekod kebangsaan 8:47:80s yang dilakukannya sendiri di Sukan SEA, Korat tahun lepas.

Selain Cai Lin, seorang lagi perenang Selangor, Raja Azlina Izzah Raja Shahrom turut memecah rekod temasya dalam acara 50m kuak dada wanita dengan catatan 34.43s, mengatasi rekod lama miliknya sendiri, 34:47s yang dilakukan pada Sukma 2006.

Dua lagi rekod temasya turut dicatat di kolam renang semalam, masing-masing menerusi Yih Wey dalam acara 200m kuak lentang, manakala Yap See Tuan memecah rekod 50m kuak dada pada perlumbaan saringan.

Sementara itu, kem tuan rumah diceriakan semalam dengan kejayaan Mohd. Hafifi Mansor memecah rekod angkat berat dalam kategori 69kg, malah Hafifi juga muncul atlet Terengganu pertama memenangi emas acara angkat berat dalam tempoh 10 tahun.

Mohd. Hafifi berjaya mengangkat bebanan keseluruhan seberat 280kg mengatasi catatan Mohd. Faerul Talib dari Pahang, 271kg yang dibuat di Kedah 2006.

Di Universiti Darul Iman Malaysia, Gong Badak, Muhammad Izzuddin Abdul Rahim dan Mohd. Zulkifli Tahil masing-masing berjaya memecah rekod Recurve 50 meter dan Recurve 30 meter yang dilakukan pada Sukma 2004.

Sehingga semalam, atlet renang Selangor yang berjaya memecah rekod kebangsaan 100 meter gaya bebas, Foo Jian Beng menjadi atlet lelaki paling banyak memenangi pingat dengan pungutan keseluruhan enam pingat manakala C.N. Saritha dari Perak menjadi atlet wanita terbanyak mengumpul pingat juga dengan empat pingat.

Sementara itu, Terengganu berjaya meneruskan saingan dalam acara paling popular, bola sepak selepas menundukkan Johor menerusi penalti 5-4 selepas kedudukan terikat 0-0.

Tuan rumah kini akan berdepan Kedah, yang mengalahkan Wilayah Persekutuan 1-0, manakala satu lagi separuh akhir menemukan Perlis dan Pulau Pinang. Perlis mengejutkan Selangor 2-0, manakala Pulang Pinang mengalahkan Perak 3-2.

Keseluruhan kini, Sarawak menduduki tempat teratas dengan pungutan 16 emas, 15 perak dan 12 gangsa meninggalkan juara Sukma XI 2006, Selangor dengan 13 emas, 11 perak dan 13 gangsa.

Tempat ketiga pula diungguli oleh Wilayah Persekutuan dengan 13 emas, 10 perak dan 18 gangsa.

Keunggulan Sarawak semalam diperkuat dengan tiga emas yang dihasilkan melalui acara wusyu, diikuti memanah (2) dan masing-masing satu emas menerusi renang, silat,boling dan gimnastik pada hari keempat temasya sejak dirasmikan pada 31 Mei lalu.

Hari ini acara olahraga akan memulakan saingan dengan menawarkan tujuh pingat emas dalam acara baling tukul besi lelaki, lompat tinggi wanita, 5,000m jalan kaki wanita, lompat jauh lelaki, lempar cakera wanita dan 400m wanita dan lelaki
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0604&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zYDsuw59

© Utusan Melayu (M) Bhd

Wednesday 7 June 2017

Cemerlang di awal saingan


ARKIB : 28/11/2005
ATLET negara, Roslinda Samsu melepasi ketinggalan 4.10 meter untuk memenangi pingat emas dan mencipta rekod baru acara lompat bergalah Sukan SEA ke-23 di Manila, semalam.

MANILA - Pasukan bola sepak negara tewas 1-2 kepada Thailand ketika Malaysia memulakan kempen Sukan SEA ke-23 dengan prestasi membanggakan apabila merangkul lima pingat emas, dua perak dan dua gangsa.

Acara terjun dan karate masing-masing menyumbang dua pingat emas sementara olahraga dengan satu pingat emas.

Yeoh Ken Nee memulakan emas pertama Malaysia pada sebelah pagi menerusi sukan terjun apabila memenangi emas dalam acara 1m papan anjal individu lelaki di Kolej Trace di Los Banos, Laguna.

Kecemerlangan Ken Nee disusuli dengan aksi cemerlang Roslinda Samsu yang meraih pingat emas menerusi acara lompat bergalah wanita di Kompleks Sukan Memorial Rizal.

Leong Mun Yee dan Cheong Jun Hoong pula mampamerkan aksi mantap untuk memenangi acara terjun 10m platform seirama.

Malaysia yang memenangi pingat pertamanya menerusi acara polo air yang memenangi pingat gangsa sebelum temasya ini dibuka dengan rasminya semalam meneruskan penguasaan.

Ku Jin Keat dan Lim Lee Lee masing-masing memenangi acara kata individu lelaki dan wanita.

Malaysia turut memenangi dua pingat perak menerusi acara kumite berpasukan lelaki dan wanita manakala Ngew Sin Mei menyumbangkan pingat gangsa olahraga dalam acara lompat jauh wanita.

Malaysia yang memenangi 43 pingat emas pada Sukan SEA 2003 di Vietnam berharap untuk memenangi 55 pingat emas pada temasya kali ini.

Ketua kontinjen negara, Low Beng Choo merasakan Malaysia berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran itu.

``Memenangi lima emas pada hari pertama adalah satu permulaan yang baik,'' katanya Beng Choo.

Sementara itu, temasya edisi ke-23 ini dibuka dengan rasminya oleh Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo dalam suasana penuh gemilang dan berwarna-warni di Quirino Grandstand, Luneta Park, semalam.

Ini kali kali ketiga Filipina menjadi tuan rumah temasya serantau ini.

Antara orang kenamaan negara yang turut hadir dalam upacara pembukaan rasmi itu termasuklah Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Datuk Azalina Othman Said dan Presien Majlis Olimpik Malaysia Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar.

Pada perbarisan sempena acara tersebut, kontinjen Malaysia di ketuai tiga pembawa Jalur Gemilang, S. Sivachandran (golf), Ho Ro Bin (wusyu) dan Nabihah Ali (gimnastik artistik) sambil berpakaian jersi `Harimau Malaya'.

Sukan SEA kali ini menawarkan 441 pingat emas dalam 41 acara

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jNMqylow
© Utusan Melayu (M) Bhd


Tuesday 25 April 2017

Kesungguhan Josiah tetap jadi kebanggaan

ARKIB : 27/08/2004
ATHENS - Meskipun gagal membawa pulang pingat, pencapaian Josiah Ng tetap boleh dianggap membanggakan apabila layak ke peringkat akhir sebelum menduduki tempat kelima acara keirin lumba basikal Sukan Olimpik di Velodrome Olimpik, kelmarin.
Bertanding menerusi tiket secara merit, Josiah mencipta sejarah tersendiri dalam sukan negara sejak Malaysia kali pertama bertanding dalam acara lumba pada tahun 1964 di Tokyo.
Kejayaannya menduduki senarai enam teratas dalam saingan di peringkat tertinggi seperti Sukan Olimpik memberikan gambaran bahawa atlet Malaysia berupaya memberikan saingan terbaik jika membuat persiapan yang lebih rapi bagi menghadapi temasya akan datang.
Josiah sendiri membayangkan bahawa dia mampu memberikan saingan yang jauh lebih baik jika terus diberi peluang.
``Tidak ada gunanya menduduki tempat keempat, kelima atau keenam di dunia. Mesej yang paling penting di sini ialah saya gagal membawa pulang pingat,'' kata Josiah, yang dahagakan kejayaan.
Atlet yang dilahirkan di Filipina dan menghabiskan banyak masanya di Amerika Syarikat selepas ibu bapanya berhijrah ke sana ketika dia berusia lapan tahun itu berkata, dia masih menyimpan hasrat untuk membawa pulang pingat emas satu hari nanti.
``Saya akan kembali. Beijing 2008 sedia menanti. Saya mahu menyiapkan diri seratus peratus. Selepas perlumbaan ini, saya tahu apa yang perlu dilakukan.
``Ia menjadi pengajaran berguna saya di sini. Apa pun terserah kepada Majlis Sukan Negara (MSN) sama ada mereka benar-benar memerlukan saya. MSN banyak membantu. Saya akan berusaha membuktikannya dalam tempoh empat tahun akan datang.
Empat tahun yang lalu, saya menyiapkan diri untuk Sukan Olimpik ini tetapi nyata hampa apabila tidak memenangi sebarang pingat. Walaupun saya sudah menghampirinya, ia tidak mencukupi,'' kata Josiah.
Selepas berakhirnya temasya di Athens ini Josiah akan meninggalkan kem latihannya di Pusat Lumba Basikal Dunia di Aigle, Switzerland. Pelumba itu akan memulakan sesi latihan baru bersama jurulatih peribadinya, Mark Whitehead di San Diego, California, Amerika Syarikat.
Dengan kegagalan Josiah bermakna Malaysia mengulangi kehampaan di Sydney, empat tahun lalu apabila pulang tangan kosong tanpa sebarang pingat.
Badminton sering menjadi pertaruhan utama Malaysia untuk memenangi pingat dalam Sukan Olimpik sejak acara itu mula dipertandingkan pada 1992 di Barcelona, Sepanyol.
Walaupun, gagal membawa pulang pingat, lumba basikal dan renang membawa lembaran baru bagi Malaysia.
Selain Josiah, perenang harapan, Lim Keng Liat turut mencipta kejayaan tersendiri apabila layak ke peringkat separuh akhir acara 100 meter kuak lentang.
Atlet Malaysia yang lainnya sekadar memenuhi jadual pertandingan apalagi dengan penyertaan mereka menerusi tiket wild-card. - Utusan