ARKIB : 04/06/2008
AzizulHasni
awang menamatkan kayuhan emas
dengan catatan 104.7 saat berbasikal 1km ujian masa individu di Kuala Berang,
semalam.
KUALA TERENGGANU - Acara renang
terus mendominasi catatan rekod baru Sukan Malaysia XII diketuai perenang
kebangsaan, Khoo Cai Lin.
Cai Lin yang mewakili Selangor
dan telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Beijing, Ogos ini memecah rekod
acara 800 meter gaya bebas wanita yang juga acara kegemarannya.
Perenang berusia 20 tahun itu
mencatat kepantasan 8 minit 51:92 saat, meleburkan rekod lama 9:06:15s yang
dilakukan perenang Negeri Sembilan, Lew Yih Wey pada Sukma 2006 Kedah.
Malah, pencapaian Olimpian 2007
itu juga hampir memadam rekod kebangsaan 8:47:80s yang dilakukannya sendiri di
Sukan SEA, Korat tahun lepas.
Selain Cai Lin, seorang lagi
perenang Selangor, Raja Azlina Izzah Raja Shahrom turut memecah rekod temasya
dalam acara 50m kuak dada wanita dengan catatan 34.43s, mengatasi rekod lama
miliknya sendiri, 34:47s yang dilakukan pada Sukma 2006.
Dua lagi rekod temasya turut
dicatat di kolam renang semalam, masing-masing menerusi Yih Wey dalam acara
200m kuak lentang, manakala Yap See Tuan memecah rekod 50m kuak dada pada
perlumbaan saringan.
Sementara itu, kem tuan rumah
diceriakan semalam dengan kejayaan Mohd. Hafifi Mansor memecah rekod angkat
berat dalam kategori 69kg, malah Hafifi juga muncul atlet Terengganu pertama
memenangi emas acara angkat berat dalam tempoh 10 tahun.
Mohd. Hafifi berjaya mengangkat
bebanan keseluruhan seberat 280kg mengatasi catatan Mohd. Faerul Talib dari
Pahang, 271kg yang dibuat di Kedah 2006.
Di Universiti Darul Iman
Malaysia, Gong Badak, Muhammad Izzuddin Abdul Rahim dan Mohd. Zulkifli Tahil
masing-masing berjaya memecah rekod Recurve 50 meter dan Recurve 30 meter yang
dilakukan pada Sukma 2004.
Sehingga semalam, atlet renang
Selangor yang berjaya memecah rekod kebangsaan 100 meter gaya bebas, Foo Jian
Beng menjadi atlet lelaki paling banyak memenangi pingat dengan pungutan
keseluruhan enam pingat manakala C.N. Saritha dari Perak menjadi atlet wanita
terbanyak mengumpul pingat juga dengan empat pingat.
Sementara itu, Terengganu
berjaya meneruskan saingan dalam acara paling popular, bola sepak selepas
menundukkan Johor menerusi penalti 5-4 selepas kedudukan terikat 0-0.
Tuan rumah kini akan berdepan
Kedah, yang mengalahkan Wilayah Persekutuan 1-0, manakala satu lagi separuh
akhir menemukan Perlis dan Pulau Pinang. Perlis mengejutkan Selangor 2-0,
manakala Pulang Pinang mengalahkan Perak 3-2.
Keseluruhan kini, Sarawak
menduduki tempat teratas dengan pungutan 16 emas, 15 perak dan 12 gangsa meninggalkan
juara Sukma XI 2006, Selangor dengan 13 emas, 11 perak dan 13 gangsa.
Tempat ketiga pula diungguli
oleh Wilayah Persekutuan dengan 13 emas, 10 perak dan 18 gangsa.
Keunggulan Sarawak semalam
diperkuat dengan tiga emas yang dihasilkan melalui acara wusyu, diikuti memanah
(2) dan masing-masing satu emas menerusi renang, silat,boling dan gimnastik
pada hari keempat temasya sejak dirasmikan pada 31 Mei lalu.
Hari ini acara olahraga akan
memulakan saingan dengan menawarkan tujuh pingat emas dalam acara baling tukul
besi lelaki, lompat tinggi wanita, 5,000m jalan kaki wanita, lompat jauh
lelaki, lempar cakera wanita dan 400m wanita dan lelaki
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0604&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zYDsuw59
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment