Friday 29 July 2016

Sarawak kena belasah lagi

ARKIB : 26/03/1998
PENYERANG kebangsaan bawah 14 tahun, Mohd. Fairuz Montana menjaringkan lima gol ketika Selangor mengaibkan Sarawak 15-0 pada perlawanan kumpulan C Kejohanan Bola Sepak Piala Nike di padang Pulapol, Kuala Lumpur, semalam.

Kekalahan besar Sarawak semalam adalah yang kali kedua selepas dibelasah teruk 11-0 oleh Kuala Lumpur, kelmarin.

Kemenangan mudah Selangor turut mengesahkan laluan ke suku akhir dari kumpulan itu diiringi Kuala Lumpur yang menumpaskan Johor 1-0 semalam hasil jaringan ketua pasukan, Najjua Zulkifli pada minit ke-49.

Empat daripada kesemua gol yang disumbat Fairuz diperoleh berturut-turut dalam tempoh 20 minit (minit ke-22, 25, 28 dan 38) manakala satu gol lagi diperoleh pada minit ke-11.

Rakan penyerang Fairuz, Amir Shahreen pula melakukan hat trick pada minit ke-4, 6 dan 18 manakala Mohd. Faizal Othman turut menggikut jejak Amir dengan jaringan minit ke-57, 58 dan 65.

Dua lagi gol Selangor dijaringkan oleh Ahmad Fazani Ismail minit ke-43 dan Mior M. Jalilulait minit ke-63.

Selangor akan bertemu Kuala Lumpur untuk menentukan juara kumpulan C, pagi esok.

Naib juara musim lalu, Perlis selesa ke suku akhir apabila meneruskan kecemerlangan dengan kemenangan 5-0 ke atas Perak dalam kumpulan B.

Gol-gol Perlis diperoleh menerusi Mohd. Safwan Hassan pada minit ke-23 dan 59, Khairul Anuar Shahidan (28, 55), dan Sy. Shazmil Amilin Sy. Sharifuddin (57).

Begitupun, persaingan kumpulan B masih terbuka untuk satu lagi tempat ke suku akhir selepas Kedah, yang tewas kepada Perlis 3-0 kelmarin, menang 1-0 ke atas Melaka hasil jaringan Mohd. Faizal Ishak pada minit ke-69.

Walaupun tewas 0-5 di tangan Perlis semalam, Perak masih berpeluang ke suku akhir berbekalkan satu kemenangan ke atas Melaka 3-2 kelmarin.

Kumpulan A turut menyaksikan persaingan sengit untuk memburu satu lagi tempat ke suku akhir apabila juara bertahan, Polis tewas 2-0 di tangan Pahang.

Gol Pahang dijaringkan oleh Mohd. Fadzli Saari minit ke-35 dan M. Rery Martinaz Mohd. Ali minit ke-70.

Polis yang menang ke atas Kelantan 3-0 kelmarin, terpaksa menentang Sabah, yang telah menempah tempat selepas menang kali kedua 2-1 ke atas Kelantan.

Dalam kumpulan D, Negeri Sembilan terpaksa menunggu perlawanan antara Terengganu dengan Pulau Pinang hari ini untuk menentukan nasib ke suku akhir.

Negeri Sembilan yang tewas 3-0 di tangan Terengganu kelmarin, seri dengan Pulau Pinang 1-1 semalam dan mengharapkan Pulau Pinang tewas kepada Terengganu dengan jaringan besar untuk menempah tempat ke suku akhir.

Pulau Pinang membuka jaringan pada awal babak kedua menerusi ketua pasukan, Mohd. Azhar Roslan sebelum Negeri Sembilan menyamakan kedudukan pada minit ke-66 menerusi Mohd. Hasif Zahari.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0326&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4FnNnjYjU © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment