Tuesday 26 July 2016

Selangor

ARKIB : 15/02/1998

 
SIMBOLIK... Penyerahan obor Sukan Malaysia (Sukma) oleh Hassan Ariffin (kiri) kepada Abu Hassan Omar di Janda Baik, Pahang semalam menandakan bermulanya komitmen Selangor mengelolakan temasya kali ketujuh itu.

SELANGOR tidak akan meminta bantuan tenaga sukarelawan daripada Sukom Ninety Eight Berhad (Sukom) lagi dalam menjayakan Sukan Malaysia (Sukma) ke-7 di Shah Alam yang bermula pada 17 April ini.

Selangor mengambil keputusan demikian setelah menyedari Sukom mempunyai tanggungjawabnya sendiri untuk memastikan kelancaran persiapan Pra-Sukan Komanwel, Julai ini di samping temasya sebenar, September depan.

Menteri Besarnya, Datuk Abu Hassan Omar berkata, Selangor berpendapat, Sukom tidak patut dibebankan dengan tambahan khidmat kepada Sukma kerana mereka perlu memberi tumpuan kepada temasya yang bertaraf antarabangsa itu.

''Sebagai penganjur acara antarabangsa, Sukom tentu sekali perlu mengendalikan tugasnya terlebih dulu tetapi ini tidak bermakna kita tidak akan membantu mereka apabila terdapat acara Sukan Komanwel yang dilangsungkan di Selangor.

''Kita tetap akan menyumbangkan bantuan kepada Sukom sekiranya dikehendaki, terutama ketika Stadium Tertutup Shah Alam menjadi gelanggang pertandingan acara tinju Sukan Komanwel nanti,'' katanya.

Abu Hassan berkata demikian selepas majlis penyerahan obor Sukma '98 daripada Timbalan Menteri Besar Pahang, Datuk Hassan Ariffin di Hentian Janda Baik, Pahang, semalam.

Katanya lagi, Selangor sehingga ini tidak menerima apa-apa maklum balas daripada pihak Sukom berhubung tawaran menyumbangkan tenaga sukarelawan mereka bagi menimba pengalaman awal sebelum temasya sebenar bermula.

Jawatankuasa Pengelola Sukma sebelum ini mendakwa, mereka diberikan pelbagai alasan oleh Sukom ketika meminta bantuan dalam penyediaan sistem maklumat keputusan dan tenaga sukarelawan serta ujian dadah.

Sukom pula kemudiannya bertindak menafikan mereka pernah menjanjikan tawaran demikian malah turut memberitahu, bantuan kepada Sukma tidak dapat ditunaikan kerana kekurangan tenaga sukarelawan yang memperolehi cuti ketika itu.

Abu Hassan juga menambah, kerajaan Selangor turut mengharapkan bantuan media massa untuk membantu memberikan publisiti kepada Sukma setelah menyedari soal itu kurang diberikan perhatian pada temasya ketujuh kali ini.

''Apa pun, kemeriahan Sukma kali ini diharap tidak akan tergugat tanpanya malah saya kira masalah kegawatan ekonomi negara ketika ini bukanlah penghalang Selangor untuk menjayakannya,'' jelas beliau lagi.

Katanya lagi, Selangor bagaimanapun terpaksa mengurangkan pengelolaan acara dalam Sukma seperti menggugurkan silat seni di samping beberapa bahagian kecil dalam sukan lain akibat masalah ekonomi ketika ini.

Namun begitu ujarnya, bagi memberikan kelainan pengelolaan Sukma kali ini, Selangor sendiri turut merancang pembawaan obor temasya itu dengan menggunakan jet ski ketika menyeberangi sungai di daerah yang terlibat.

Mulai semalam, larian obor Sukma akan merentasi lapan daerah di seluruh Selangor iaitu Gombak, Hulu Selangor, Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat, Sepang, Hulu Langat dan Petaling.

Larian selama dua bulan ini seterusnya akan berakhir pada malam perasmian Sukma ketujuh di Stadium Shah Alam, 18 April ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4FVWGL924 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment