Friday, 29 July 2016

KL belasah Sarawak

RKIB : 25/03/1998
KENDURI gol memulakan aksi Kejohanan Bola Sepak Piala Nike bawah 14 tahun semalam apabila Kuala Lumpur membelasah Sarawak 11-0 pada perlawanan kumpulan C yang berlangsung di padang Pulapol, Kuala Lumpur.

Mohd. Rasuli Azwan Ramli dan Wan Mohd. Huzaimi Wan Yusuf masing-masing melakukan hattrick manakala Wong Hai Hung menyumbat dua gol sementara Sharin Mohamaed, Khairul Anuar Kelia dan Najua Zulkifli masing-masing menjaringkan satu gol pada minit ke-38, 55 dan 65.

Kuala Lumpur mendahului 3-0 pada babak pertama dengan gol pembukaan disumbat oleh Mohd. Rasuli pada minit ke-15 manakala gol kedua dijaringkan oleh Mohd. Huzaimi dua minit selepas itu dan Rasuli kembali melebarkan jaringan pada minit ke-22.

Najua menambah gol keempat pada mini ke-38 dan Rasuli melengkapkan hattriknya pada minit ke-42.

Sementara itu juara bertahan, Polis melakukan permulaan baik apabila menumpaskan Kelantan 3-0 dalam perlawanan kumpulan A.

Ahmad Bastian Samsunar menjadi wira Polis apabila menyumbat dua gol dan menjaringkan gol pembukaan diperolehi lima minit selepas babak kedua bermula.

Mohd. Rasidi Shaari menambah gol kedua sepuluh minit kemudian sebelum Ahmad Bastian menutup perlawanan dengan gol ketiga pada minit ke-65.

Naib juara, Perlis mudah menjinakkan pasukan jiran, Kedah 3-0 pada perlawanan kumpulan B.

Kegarangan Perlis terserlah sebaik babak kedua bermula apabila Syed Shazmil Amilin Syed Shafifudin membuka jaringan pada minit ke-43.

Ahmad Iffzan Shahrazat Hashim kemudian menambah gol kedua pada minit ke-56 sebelum Wan Afifi Mohd. Yusof menggegarkan jaring Kedah pada minit-minit terakhir perlawanan untuk gol ketiga.

Dalam perlawanan lain, Sabah menewaskan Pahang 2-1 dalam perlawanan kumpulan A.

Sabah mendahului 1-0 sehingga babak pertama dengan jaringan pembukaan diperolehi menerusi Jody Byan Gundok pada minit ke-22.

Begitupun, Pahang menyamakan kedudukan pada minit ke-44 menerusi Mohd. Fadzli Saari tetapi Walther Antahar menafikan kegarangan Pahang apabila menyumbat gol kedua pada minit ke-52.

Perak menang 3-2 pada perlawanan kumpulan B dengan Perak lebih dulu membuka jaringan pada minit ke-32 menerusi Mohd. Lubis Nazri.

Melaka bangkit dengan dua gol pada babak kedua menerusi Mohd. Iqbal Nasir pada minit ke-40 dan Kahiril Anwar Mahamad Rizal empat minit kemudian.

Begitupun, Perak berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-60 menerusi Mohd. Azwan Zainuddin sebelum gol kemenangan disumbat oleh M. Parameswaran seminit sebelum tamat perlawanan.

Dalam kumpulan C, Mohd. Faizal Othman menjaringkan kedua-dua gol untuk Selangor menghampakan Johor 2-0.

Jaringan Faizal diperolehi pada minit ke-37 sebelum sekali lagi menggegar gawang Johor pada minit ke-65.

Azman Harun menjaringkan dua gol ketika membantu Terengganu menewaskan Negeri Sembilan 3-0 dalam perlawanam kumpulan D.

Mohd. Fairuz Hamizan membuka jaringan pada minit ke-11 sebelum Azman menambah gol kedua pada minit ke-23 untuk Terengganu selesa dua gol di depan sehingga waktu rehat.

Oleh: JOHARI SYAWAL

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0325&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FmiOQo5y © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment