Friday 29 July 2016

Selangor mara

ARKIB : 29/03/1998
SELANGOR melangkah dengan bergaya ke separuh akhir bola sepak Piala Nike '98 apabila menumpaskan Polis 3-0 pada perlawanan suku akhir di Padang Pulapol, Kuala Lumpur semalam.

Skuad bawah umur 14 tahun Selangor itu menunjukkan permainan yang matang apabila dengan mudah menjinakkan skuad muda polis.

Pada awal minit keempat, Selangor sudah berjaya membolosi gawang Polis hasil jaringan Mohd. Rizal Othman. Selangor menghukum kelekaan pertahanan Polis pada minit ke-44 dengan jaringan kedua menerusi Shafizan Sanuan.

Pada masa kedua, Selangor bertindak lebih garang dan Faizal Othman sekali lagi menambah derita Polis dengan jaringan ketiga sekali gus melayakkan diri ke separuh akhir.

Pahang turut layak ke separuh akhir setelah terpaksa bertungkus-lumus sebelum menewaskan skuad remaja Ibu Kota, Kuala Lumpur.

Laluan ke separuh akhir Pahang terpaksa ditentukan dengan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat dengan kedudukan 1-1 setelah tamat permainan.

Kuala Lumpur mendahului Pahang apabila Najjua Zulkifli menjaringkan gol pada minit ke-37 sebelum pemain Pahang, Mohd. Fadli Saari menyamakan kedudukan lima minit kemudian.

Perlawanan tamat dengan keputusan 1-1 dan Pahang menang dengan penalti 3-1.

Pada perlawanan lain, Perlis telah berjaya menundukkan Pulau Pinang 2-1.

Pemain Perlis, Safwan Hassan menjaringkan gol pertama pada minit ke-10 tetapi pemain Pulau Pinang berjaya menyamakan kedudukan menerusi Suharlis Saat.

Separuh masa pertama berkesudahan dengan 1-1.

Gol kemenangan Perlis diperoleh pada minit ke-55 setelah Safwan Hassan sekali lagi tidak mempersia-siakan peluang di depan gol.

Terengganu melengkapkan pasukan ke separuh akhir apabila membenam Kedah 4-1.

Kedah lebih dahulu menjaringkan gol menerusi Faizal Ishak pada minit ke-13.

Terengganu tidak menunggu lama dan Rozi Omar berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-22. Terengganu menghancurkan impian Kedah ke separuh akhir setelah Norhisyam Saludin, Azman Harun dan Faizal Hanif meledakkan gol untuk Trengganu pada minit ke-24, 55 dan 67.

Terengganu akan bertemu Pahang dan Selangor akan bertemu Perlis.
Semua perlawanan akan berlangsung hari ini di Padang Pulapol, Kuala Lumpur.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0329&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4FoMwhzx9 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment