Thursday, 15 September 2016

Malaysia kuis halangan ke-2

ARKIB : 11/09/1998
Pemain wanita negara mengekalkan rekod tanpa kalah pada perlawanan kedua kumpulan W dengan kemenangan 5-0 ke atas Trinidad & Tabago menjelang pertemuan dengan pilihan pertama New Zealand, esok.

Woon Sze Mei yang diturunkan sebagai perseorangan pertama hanya memerlukan masa 12 minit untuk menumpaskan Sabrina Cassie 11-3, 11-0 sebelum Law Pei Pei menang mudah 11-1, 11-0 kepada Zeudi Mack diikuti Ng Mee Fen yag menewaskan Jenelle Cudjoe 11-1, 11-4 bagi membolehkan Malaysia mendahului 3-0.

Beregu utama negara juga bukan tandingan gandingan Trinidad & Tabago yang kalah teruk kepada pasangan Chor Hooi Yee-Lim Pek Siah dan Norhashikin Mohd.-Joanne Quay.

Hooi Yee-Pek Siah menang selesa 15-0, 15-2 sementara Norashikin-Joanne mendapat sedikit saingan sebelum menamatkan perlawanan dengan 15-4, 15-4.

Sementara itu, pasukan lelaki yang diletakkan sebagai pilihan pertama juga masih belum diuji sepenuhnya pada pertemuan dengan pemain Ireland Utara yang tumpas 5-0.

Jurulatih negara, Morten Frost Hansen bagaimanapun tidak bimbang dengan situasi itu menjelang pertemuan dengan Kanada, esok.

''Saya tidak bimbang dengan kemampuan mereka (pemain) walaupun belum diuji sepenuhnya,'' katanya selepas perlawanan itu.

Kemenangan pasukan lelaki negara dimulakan oleh Ong Ewe Hock yang turun sebagai perseorangan pertama untuk menewaskan Leslie Dewart 15-3, 15-3, diikuti Yong Hock Kin yang menang mudah 15-1, 15-1 ke atas David Geddes dalam masa 15 minit saja.

Wong Choong Hann mengutip mata ketiga negara dengan mengetepikan Michael Watt 15-1, 15-3 sebelum gandingan Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock menang 15-5, 15-1 kepada pasangan adik beradik Bruce dan Mark Topping.

Beregu kedua negara, Lee Wan Wah-Choong Tan Fook menyumbangkan mata terakhir dengan mengalahkan Graham Henderson-Eugene McKenna 15-2, 15-7.

Kim Hock yang telah empat bulan tidak menyertai pertandingan menganggap kesemua perlawanan yang disertainya sebagai gelanggang menggilap kembali persefahaman dengan pasangannya Soon Kit sebelum acara individu bermula.

''Kombinasi saya masih belum memuaskan dan saya rasa perlawanan berpasukan ini memberi peluang kepada saya untuk menggilap semula permainan saya,'' katanya mengakui tidak ada kesakitan dialami sepanjang pertandingan dimulakan, kelmarin.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0911&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4KKLqLQgp © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment