Wednesday, 7 June 2017

Cemerlang di awal saingan


ARKIB : 28/11/2005
ATLET negara, Roslinda Samsu melepasi ketinggalan 4.10 meter untuk memenangi pingat emas dan mencipta rekod baru acara lompat bergalah Sukan SEA ke-23 di Manila, semalam.

MANILA - Pasukan bola sepak negara tewas 1-2 kepada Thailand ketika Malaysia memulakan kempen Sukan SEA ke-23 dengan prestasi membanggakan apabila merangkul lima pingat emas, dua perak dan dua gangsa.

Acara terjun dan karate masing-masing menyumbang dua pingat emas sementara olahraga dengan satu pingat emas.

Yeoh Ken Nee memulakan emas pertama Malaysia pada sebelah pagi menerusi sukan terjun apabila memenangi emas dalam acara 1m papan anjal individu lelaki di Kolej Trace di Los Banos, Laguna.

Kecemerlangan Ken Nee disusuli dengan aksi cemerlang Roslinda Samsu yang meraih pingat emas menerusi acara lompat bergalah wanita di Kompleks Sukan Memorial Rizal.

Leong Mun Yee dan Cheong Jun Hoong pula mampamerkan aksi mantap untuk memenangi acara terjun 10m platform seirama.

Malaysia yang memenangi pingat pertamanya menerusi acara polo air yang memenangi pingat gangsa sebelum temasya ini dibuka dengan rasminya semalam meneruskan penguasaan.

Ku Jin Keat dan Lim Lee Lee masing-masing memenangi acara kata individu lelaki dan wanita.

Malaysia turut memenangi dua pingat perak menerusi acara kumite berpasukan lelaki dan wanita manakala Ngew Sin Mei menyumbangkan pingat gangsa olahraga dalam acara lompat jauh wanita.

Malaysia yang memenangi 43 pingat emas pada Sukan SEA 2003 di Vietnam berharap untuk memenangi 55 pingat emas pada temasya kali ini.

Ketua kontinjen negara, Low Beng Choo merasakan Malaysia berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran itu.

``Memenangi lima emas pada hari pertama adalah satu permulaan yang baik,'' katanya Beng Choo.

Sementara itu, temasya edisi ke-23 ini dibuka dengan rasminya oleh Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo dalam suasana penuh gemilang dan berwarna-warni di Quirino Grandstand, Luneta Park, semalam.

Ini kali kali ketiga Filipina menjadi tuan rumah temasya serantau ini.

Antara orang kenamaan negara yang turut hadir dalam upacara pembukaan rasmi itu termasuklah Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Datuk Azalina Othman Said dan Presien Majlis Olimpik Malaysia Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar.

Pada perbarisan sempena acara tersebut, kontinjen Malaysia di ketuai tiga pembawa Jalur Gemilang, S. Sivachandran (golf), Ho Ro Bin (wusyu) dan Nabihah Ali (gimnastik artistik) sambil berpakaian jersi `Harimau Malaya'.

Sukan SEA kali ini menawarkan 441 pingat emas dalam 41 acara

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jNMqylow
© Utusan Melayu (M) Bhd