ARKIB : 14/06/2008
Oleh TAUFEK RAZAK
AZIZULHASNI
KUALA LUMPUR - Pelumba trek
muda negara, Azizulhasni Awang memberi harapan besar kepada kontinjen Olimpik
Malaysia apabila menewaskan pelumba Olimpik Australia untuk muncul juara acara
keirin pada satu perlumbaan ujian di Vodafone Arena Melbourne, Australia, kelmarin.
Antara yang menjadi mangsa
Azizulhasni adalah pemenang pingat emas keirin Sukan Olimpik Athens 2004, Ryan
Bayley di samping dua pelumba berpengalaman Australia, Shane Kelly dan Mark
French.
Presiden Persekutuan Kebangsaan
Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Wahab yang turut berada di Melbourne
berkata, kemenangan Azizulhasni amat membanggakan.
"Walaupun ia hanya
perlumbaan ujian tetapi cara kayuhan Azizulhasni meninggalkan pelumba-pelumba Olimpik
Australia yang lebih berpengalaman dan bersaiz fizikal lebih besar amat
menakjubkan.
"Walaupun bertubuh kecil
dan masih muda, Azizulhasni menunjukkan kematangannya beraksi buat kali pertama
dengan jaguh-jaguh terkemuka Australia itu," katanya.
Pelumba kelahiran Terengganu
yang baru berusia 19 tahun itu turut membantu pasukan negara menjuarai acara
Olimpik berpasukan (team sprint) berpasangan dengan Josiah Ng dan Mohd. Rizal
Tisin.
Gandingan trio negara
menewaskan gandingan French, Bayley dan Daniel Ellis.
Selain itu, Azizulhasni juga
berjaya menduduki tempat ketiga acara 200 meter pecut di belakang dua pelumba
Australia, Bayley (juara Olimpik 2004) dan French.
Pelumba wanita negara, Fatehah
Mustapha juga berjaya menduduki tempat ketiga dalam acara keirin.
Seramai enam pelumba negara
berada di Melbourne sejak sebulan lalu untuk berlatih di bawah jurulatih
tempatan, John Beasley.
Bagaimanapun hanya empat
pelumba lelaki akan beraksi di Sukan Olimpik Beijing Ogos ini yang pemilihannya
akan ditentukan tidak lama lagi.
Ketika ini selain Azizulhasni,
Josiah dan Rizal, turut bersaing merebut tempat ke Beijing adalah Mohd. Ederus
Mohd. Yunus dan Junaidi Mohd. Nasir.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0614&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zajoYuvt
© Utusan Melayu (M) Bhd