Wednesday 18 December 2013

Cikgu' akhirnya bawa pulang emas

 Mohd. Jironi Riduan ceria bersama pingat emas yang dimenangi dalam acara 800 meter di Stadium Utama Wunna Theikdi, semalam.
NAY PYI TAW - Selepas kempunan pingat emas dalam tiga penampilan di Sukan SEA, impian Mohd. Jironi Riduan untuk bergelar juara akhirnya menjadi kenyataan apabila muncul pelari pertama melintasi garisan penamat dalam acara 800 meter lelaki di Stadium Wunna Theikdi, semalam.

Jironi yang merupakan guru di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) mencatat masa satu minit 50.98 saat, mengenepikan pelari Filipina, Mervin Guarte di tempat kedua 1:51.51s, manakala gangsa milik Van Thai Duong dari Vietnam (1:51.62s).

Kejayaan Jironi sedikit sebanyak melegakan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang memerlukan tiga lagi pingat emas untuk mencapai sasaran lima emas yang ditetapkan sebelum ini, tatkala semalam kita gagal meraih sebarang pingat melalui 100m lelaki dan wanita, 400m lari berpagar lelaki dan lompat kijang wanita.

Selepas tidak meraih sebarang pingat di Sukan SEA 2007 Korat dan 2011 Palembang, selain meraih perak di Laos 2009, dia puas kerana emas yang dicari selama ini akhirnya menjelma.

"Saya puas hati sangat kerana akhirnya dapat pingat emas. Memang saya betul-betul fokus mengikut strategi yang ditetapkan iaitu memecut pada 200m terakhir," katanya.

Jironi, 27, yang berasal dari Sarawak menegaskan, masa yang dilakukannya semalam tidak penting walaupun ia adalah catatan peribadi terbaiknya - 1:50.21s.

"Dua tahun lalu di Palembang saya memenangi gangsa tetapi ditarik balik kerana didapati menolak pelari lain, sementara di Laos saya meraih dua perak dalam acara 800m dan 1,500m, jadi hari ini (semalam) adalah pencapaian terbaik saya.

"Saya tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri menjelang acara 1,500 Khamis ini (esok) tetapi saya cuba untuk menang," katanya yang mengakui agak sukar untuk membahagi masa di antara kerja dan latihan.

Tambahnya, dia begitu bergelut untuk mempersiapkan diri bagi temasya ini kerana kerja, selain tidak banyak kejohanan yang boleh disertai.

Sementara itu, ketika Sukan SEA hanya tinggal lima hari untuk menutup tirai, Malaysia masih mencari 13 lagi emas untuk melengkapkan sasaran 40 emas.

Kedudukan wajar membuatkan kontinjen negara mula menekan butang panik kerana baharu mengumpul 27 emas keseluruhan.

Dalam acara 100m lelaki pula Eddie Edward JR yang berjaya menempatkan diri dalam saingan akhir hanya menduduki tempat ketujuh dengan catatan masa 10.75s.

Gelaran Raja Pecut Asia Tenggara milik Jirapong Meenapra dari Thailand dengan catatan 10.48s.

Dalam saingan 400m berpagar lelaki, dua wakil negara, Mohamed Baihaqi Razlan menduduki tempat keempat (52.96s), manakala Muhammad Firdaus Musa gagal menamatkan perlumbaan akibat kecederaan.

Selain Jironi, memanah turut menjadi penyumbang emas negara semalam menerusi acara recurve berpasukan lelaki.

Kombinasi Khairul Anuar Mohamad, Haziq Ka maruddin dan Atiq Bazil Bakri menundukkan Thailand 214-212.

Dua perak juga berjaya diraih satu dalam menembak 25 meter sport pistol individu wanita melalui Siti Nur Masitah Muhd. Badrin dan memanah compound berpasukan lelaki. Gangsa diraih acara pelayaran, optimist.

Dengan 13 emas lagi perlu dicari, sukan terjun yang mensasarkan lapan emas memulakan kempen hari ini.

Pandelela Rinong tidak akan beraksi, namun Cheong Jun Hoong dan Ng Yan Yee akan memulakan cabaran dalam acara 3 meter papan anjal wanita dan Muhd. Nazreen Abdullah serta Ooi Tze Ling, 10 meter platform lelaki.

Emas yang tidak disangka mungkin boleh hadir melalui Gavin Green Kyle dalam golf individu lelaki.
RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131218/su_02/Cikgu-akhirnya-bawa-pulang-emas#ixzz2nsQKz5Ib © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment