Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my
HOON Thien How (kiri) dan Tan Wee Kiong
akhirnya merangkul kejuaraan pertama mereka pada Terbuka Macau, semalam.
KUALA LUMPUR - Selepas dua
tahun bersabar, sejak diganding buat kali pertama pada 2011, penantian Hoon
Thien How-Tan Wee Kiong berakhir jua apabila merangkul kejuaraan antarabangsa
pertama mereka pada kejohanan badminton Grand Prix Emas Terbuka Macau, semalam.
Pasangan No. 10 dunia itu
sememangnya sudah banyak menunjukkan peningkatan, terutama selepas berjaya
melangkah ke final Siri Super Premier Terbuka China, dua minggu lalu, di mana
mereka akhirnya kalah kepada beregu Korea, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong.
Namun, peningkatan demi
peningkatan yang dipamerkan beregu No. 2 negara itu akhirnya menghadiahkan
kejuaraan selepas mereka menumbangkan pilihan pertama kejohanan yang juga
beregu No. 8 dunia, Lee Sheng Mu-Tsai Chia Hsin dari Taiwan 21-16, 21-19.
Sejurus tamat perlawanan, Thien
How-Wee Kiong, yang turut melangkah ke separuh akhir Terbuka Jepun dan
Perancis, menujukan kemenangan ini buat bekas jurulatih mereka, Paulus Firman
yang meninggalkan skuad kebangsaan pada hujung bulan lalu.
"Kemenangan ini buat
Paulus, dia adalah jurulatih yang hebat.
"Dia adalah orang yang
banyak mengajar kami, bukan saja dalam badminton tetapi juga kehidupan. Kami
akan merindui tunjuk ajarnya.
"Sekarang, kami akhirnya
merangkul kejuaraan dan semua kerja keras ini harus diteruskan," kata Wee
Kiong.
Sementara itu jurulatih mereka,
Pang Cheh Chang berkata, kedua-dua pemain itu telah mempamer permainan yang
bagus selain mengikuti semua strategi dirancang.
"Mereka bermain dengan
baik dan Wee Kiong berjaya mengatasi kecederaannya dengan baik pada perlawanan
ini cuma selepas ini saya perlu pastikan dia dapat rehat yang cukup.
"Bagi saya kemenangan ini
adalah satu permulaan buat mereka untuk mencapai sesuatu yang lebih baik dan
mereka perlu bekerja lebih keras selepas ini," kata Cheh Chang.
Pada perlawanan tersebut Thien
How-Wee Kiong bermula dengan baik untuk mendapatkan kemenangan pada set
pertama, malah beregu negara itu hanya memerlukan 35 minit untuk menundukkan
lawan dari Taiwan itu.
Selepas ini Thien How-Wee Kiong
dijadual menyertai Siri Super Akhir yang akan berlangsung di Kuala Lumpur 11-15
Disember ini.
RUJUKAN:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131202/su_07/Gelaran-ini-buat-Paulus#ixzz2mN4hsj00
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment