Pingat emas ke-1,000
Phoon Eyin begitu yakin ketika memperagakan langkah pendekar dalam acara qiangshu di Stadium Tertutup Wunna Theikdi, Nay Pyi Taw, semalam.
NAY PYI TAW - Namanya tidak pernah disebut sebagai salah seorang prospek untuk meraih emas, namun tanpa disangka, atlet pelapis wusyu muda negara, Phoon Eyin yang berjaya menghadiahkan pingat emas ke-1,000 Sukan SEA buat Malaysia dalam acara qiangshu wanita.
Kejayaan Phoon Eyin memberikan kelegaan kepada kontinjen negara selepas harapan yang diletakkan kepada Huo Mun Hua dan Diana Bong Siong Lin terkulai apabila kedua-duanya gagal mengaut emas dalam acara masing-masing.
Beraksi dalam acara terakhir wusyu pada hari ketiga, atlet yang baru sahaja selesai mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu membuat kejutan apabila berjaya mengalahkan beberapa peserta pilihan dari Vietnam dan Indonesia.
Turun sebagai peserta pertama membuat persembahan bersenjatakan tombak ini, pungutan 9.67 mata yang dilakukan oleh gadis manis dari Seremban ini gagal dipintas oleh Duong Thuy Vi dari Vietnam yang sekadar mengutip 9.59 mata.
Seorang lagi pencabarnya, Lovita Thalia Sosrodjojo dari Indonesia hanya mampu melakukan 9.40 mata sekali gus memberikan emas menjadi milik Malaysia.
Phoon Eyin yang ditemui berkata, dia sebenarnya hanya mahu mendapatkan pengalaman kerana ini merupakan kali pertama dia menyertai Sukan SEA.
''Tujuan saya sertai Sukan SEA bukan mahu dapatkan apa-apa, sekadar mahu dapatkan pengalaman kerana saya masih baru lagi bersaing di peringkat tertinggi.
''Sebelum saya membuat persembahan tadi, tiada tekanan dirasai oleh saya walaupun tahu (Diana dan Mun Hua) gagal mendapatkan emas.
RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131210/su_01/Pingat-emas-ke-1000#ixzz2n1VfbKsm © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment