ARKIB : 15/02/1998
SIMBOLIK... Penyerahan obor
Sukan Malaysia (Sukma) oleh Hassan Ariffin (kiri) kepada Abu Hassan Omar di
Janda Baik, Pahang semalam menandakan bermulanya komitmen Selangor mengelolakan
temasya kali ketujuh itu.
SELANGOR tidak akan meminta
bantuan tenaga sukarelawan daripada Sukom Ninety Eight Berhad (Sukom) lagi
dalam menjayakan Sukan Malaysia (Sukma) ke-7 di Shah Alam yang bermula pada 17
April ini.
Selangor mengambil keputusan
demikian setelah menyedari Sukom mempunyai tanggungjawabnya sendiri untuk
memastikan kelancaran persiapan Pra-Sukan Komanwel, Julai ini di samping
temasya sebenar, September depan.
Menteri Besarnya, Datuk Abu
Hassan Omar berkata, Selangor berpendapat, Sukom tidak patut dibebankan dengan
tambahan khidmat kepada Sukma kerana mereka perlu memberi tumpuan kepada
temasya yang bertaraf antarabangsa itu.
''Sebagai penganjur acara
antarabangsa, Sukom tentu sekali perlu mengendalikan tugasnya terlebih dulu
tetapi ini tidak bermakna kita tidak akan membantu mereka apabila terdapat
acara Sukan Komanwel yang dilangsungkan di Selangor.
''Kita tetap akan menyumbangkan
bantuan kepada Sukom sekiranya dikehendaki, terutama ketika Stadium Tertutup
Shah Alam menjadi gelanggang pertandingan acara tinju Sukan Komanwel nanti,''
katanya.
Abu Hassan berkata demikian
selepas majlis penyerahan obor Sukma '98 daripada Timbalan Menteri Besar
Pahang, Datuk Hassan Ariffin di Hentian Janda Baik, Pahang, semalam.
Katanya lagi, Selangor sehingga
ini tidak menerima apa-apa maklum balas daripada pihak Sukom berhubung tawaran
menyumbangkan tenaga sukarelawan mereka bagi menimba pengalaman awal sebelum
temasya sebenar bermula.
Jawatankuasa Pengelola Sukma
sebelum ini mendakwa, mereka diberikan pelbagai alasan oleh Sukom ketika
meminta bantuan dalam penyediaan sistem maklumat keputusan dan tenaga
sukarelawan serta ujian dadah.
Sukom pula kemudiannya
bertindak menafikan mereka pernah menjanjikan tawaran demikian malah turut
memberitahu, bantuan kepada Sukma tidak dapat ditunaikan kerana kekurangan
tenaga sukarelawan yang memperolehi cuti ketika itu.
Abu Hassan juga menambah,
kerajaan Selangor turut mengharapkan bantuan media massa untuk membantu
memberikan publisiti kepada Sukma setelah menyedari soal itu kurang diberikan
perhatian pada temasya ketujuh kali ini.
''Apa pun, kemeriahan Sukma
kali ini diharap tidak akan tergugat tanpanya malah saya kira masalah kegawatan
ekonomi negara ketika ini bukanlah penghalang Selangor untuk menjayakannya,''
jelas beliau lagi.
Katanya lagi, Selangor
bagaimanapun terpaksa mengurangkan pengelolaan acara dalam Sukma seperti
menggugurkan silat seni di samping beberapa bahagian kecil dalam sukan lain
akibat masalah ekonomi ketika ini.
Namun begitu ujarnya, bagi
memberikan kelainan pengelolaan Sukma kali ini, Selangor sendiri turut
merancang pembawaan obor temasya itu dengan menggunakan jet ski ketika menyeberangi
sungai di daerah yang terlibat.
Mulai semalam, larian obor
Sukma akan merentasi lapan daerah di seluruh Selangor iaitu Gombak, Hulu
Selangor, Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat, Sepang, Hulu
Langat dan Petaling.
Larian selama dua bulan ini
seterusnya akan berakhir pada malam perasmian Sukma ketujuh di Stadium Shah
Alam, 18 April ini.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4FVWGL924
© Utusan Melayu (M) Bhd